Monday, August 28, 2017

Kemuliaan seorang gadis kerana keperawanannya



Ihsan imej: Pinterest.com
Adik-adik, seperti yang penulis nyatakan sebelum ini, nilai perawan seorang gadis terkait rapat tentang akhlak dan kesempurnaan imannya. Sungguh mulia kedudukan seorang gadis jika mampu menjaga keperawanannya dari dicemari dengan perbuatan zina dan hubungan seks bebas.


Allah berfirman dalam KitabNya, Surah Al-Isra ayat 32 yang bermaksud,

“ Dan janganlah kamu mendekati perbuatan zina, sesungguhnya ia adalah perbuatan keji dan jalan yang salah.”


Lihat realiti betapa parahnya budaya zina dalam kalangan masyarakat kita hari ini?


Mengikut perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), terdapat peningkatan yang drastik kelahiran anak tidak sah taraf ini terutama selepas tahun 2009. Laporan statistik pada tahun 2000 hingga 2008 menyatakan terdapat 155, 744 kelahiran anak tidak sah taraf yang didaftarkan di JPN. Manakala pada tahun 2009-2012 terdapat 217, 863 pendaftaran kelahiran anak tidak sah diterima. Pecahannya adalah seperti berikut; 52, 378 (2009), 52, 982 (2010), 53, 788 (2011) dan 58, 715 (2012). Jumlah ini sungguh membimbangkan dan jika tidak ditangani segera maka Malaysia bakal menghadapi bencana sosial sepertimana negara-negara barat kebuntuan menangani gejala ibu tunggal di kalangan remaja perempuannya.


Dalam sebuah laporan akhbar, sebanyak 532,158 kelahiran anak tidak sah taraf atau anak luar nikah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari tahun 2005 hingga 2015. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata data Polis Diraja Malaysia pula menunjukkan bagi tempoh yang sama, terdapat 526 kes pembuangan bayi.

“Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, bilangan kes kehamilan remaja belum berkahwin bagi tahun 2012 hingga 2015 adalah sebanyak 16,270.

“Berdasarkan Statistik Remaja Hamil Jabatan Kesihatan Negeri 2012 hingga 2015, tiga negeri dengan statistik tertinggi remaja berumur 10 hingga 19 tahun hamil adalah Sarawak (5,246 orang), Johor (2,427 orang) dan Selangor (1,603 orang),” katanya. (FMT News, 10 November 2016)



Tambahan lagi, laporan kajian oleh Durex & Durex mencatatkan Malaysia sebagai negara yang mengamalkan seks luar nikah di kalangan remaja Malaysia dengan purata 62 kali setahun (kajian 2003), dan 86 kali setahun (kajian 2004). Kajian juga menunjukkan wanita didapati kehilangan dara pada usia muda pada umur 20 tahun (kajian 2001) dan 19.3 (kajian 2004).


Oleh kerana majoriti penduduk Malaysia ialah Melayu, maka kita boleh andaikan statistik yang besar juga disumbangkan oleh bangsa Melayu yang beragama Islam. Adakah statistik-statistik yang dinyatakan tidak merobek perasaan kita betapa berleluasanya budaya zina ini?


Apa perasaan adik-adik membaca data-data tersebut?


Letakkan tangan didada, kata pada diri,

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim.. Aku memohon perlindunganMu dari segala perbuatan yang membawa kepada kerosakan diri sebagai hambaMu. Aku memohon kepadaMu agar kesucian diriku sebagai gadis terpelihara agar tidak menjadi fitnah kepada agama Islam yang murni ini.”
Ameen Ya Rabbal ‘Alamin. 


Dalam keadaan dunia yang mengagungkan nilai-nilai sekular seperti hedonism dan kebebasan melampau, bukankah ia satu kemuliaan jika seorang gadis berjaya menjaga kehormatannya dari dicemari?


Gadis-gadis yang teguh pendirian mempertahankan kehormatan diri melambangkan betapa mulia akhlak diri yang terbit daripada kesempurnaan iman. Mereka menjadikan perasaan malu sebagai perisai diri dari melakukan perbuatan keji.


Apabila seseorang gadis telah hilang malunya, maka dia akan lebih cenderung untuk melakukan semua perkara terlarang sesuka hatinya. Lalu, pudarlah juga nilai kegadisannya. Sedangkan, seorang gadis seringkali disinonimkan dengan sifat pemalu.


Perasaan malu itu ibaratnya muara akhlak. Ia akan mencegah seseorang dari membiarkan dirinya melakukan perbuatan tercela. Ia juga diertikan sebagai enggan melakukan kemungkaran atau meninggalkan sesuatu kewajipan kerana takut dicela Allah Ta’ala. Kepentingan rasa malu ini sangat besar hingga ia merupakan salah satu cabang dalam kesempurnaan iman seseorang hambaNya.


Daripada Abu Mas’ud, ‘Uqbah bin ‘Amru al-Ansoori al-Badriy r.a., beliau berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya di antara ajaran yang didapati oleh manusia daripada kalam (perkataan) nubuwwah yang pertama ialah: “Apabila kamu tidak malu buatlah apa yang kamu suka.”                                                 (Riwayat Imam Bukhari)

Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud, “Sifat malu adalah satu cabang daripada iman.”

Sabda Baginda lagi yang bermaksud, “Sifat malu tidak mendatangkan selain daripada kebaikan.”

Sehubungan dengan itu, ketiadaan sifat malu ini akan menyebabkan manusia berada dalam keaiban dan kekurangan. Perasaan malu akan membatasi pandangan mata, pemikiran dan tingkah laku kita dari segala bentuk maksiat. Malah, jika terlihatkan haiwan bersenggama di tepi jalan pun, secara fitrahnya kita tertunduk. Itulah malu!

Apatah lagi bergelar seorang gadis muslimah?

Jika malu yang menjadi perhiasannya, sudah tentu terpancar kemuliaan peribadinya. Al-Qur’an mengkisahkan mengenai perihal malu salah seorang puteri Nabi Syuaib a.s ketika dia datang memanggil Musa a.s.

Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud, ‘Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang daripada kedua wanita itu berjalan malu-malu, ia berkata: “sesungguhnya bapaku memanggilmu agar dia memberi balasan terhadap (kebaikanmu memberi minum [ternakan] kami.”                                                 (Surah Al-Qosos: Ayat 25)

Salah seorang puteri Nabi Syu’aib a.s itu datang menemui Nabi Musa a.s bagi memenuhi perintah bapanya. Jalannya penuh beradab, suci bersih ketika bertemu dengan lelaki tanpa dibuat-buat, tidak bersolek keterlaluan (tabarruj) dan tidak pula mendatangi lelaki dalam keadaan menggoda.


Puteri Nabi Syu’aib a.s itu menjelmakan nilai-nilai malu yang harus ada pada diri setiap gadis. Dia tidak mempunyai maksud lain tetapi sekadar menyampaikan pesan bapanya. Cakapnya juga jelas dan terang sekadar yang perlu tanpa berniat untuk menggoda lelaki agar menginginkan dirinya.

Seorang gadis yang mengimani kepentingan menjaga perasaan malu sebagai sebahagian daripada iman, pasti tidak sanggup membiarkan dirinya memakai pakaian yang mendedahkan tubuh badannya hingga ada lelaki yang mengimpikan untuk menjamah setiap inci tubuhnya.

Hatta Rasulullah begitu malu apabila terlihatkan batang tubuh Asma’ di sebalik pakaiannya yang nipis. Lalu Rasulullah s.a.w menegur Asma binti Abu Bakar r.a ketika beliau datang ke rumah Nabi s.a.w dan memalingkan mukanya sambil berkata yang bermaksud,


“Wahai Asma ! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini (beliau mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan).” (HR. Abu Dawud, no. 4104 dan al-Baihaqi, no. 3218. Hadis ini disahihkan oleh syaikh al-Albani rahimahullah)


Gadis yang malu juga tidak sanggup berpeleseran dengan lelaki hingga mengundang syaitan sebagai pihak ketiga lalu meniupkan dorongan syahwat hingga terjadinya zina. Jika itu berlaku, hilanglah kemuliaan si gadis saat keperawanannya diambil oleh lelaki-lelaki yang bukan suaminya. Nauzubillah.

Adik-adik gadisku, perasaan malu merupakan kebaikan dan warisan sifat para anbiya’. Seseorang gadis yang tebal malunya, maka teballah kebaikannya. Jika nipis atau tiada malunya, maka banyak juga kejahatan yang dilakukannya secara terang-terangan.

Oleh itu, adik-adik perlu beriltizam untuk menjaga perasaan malu agar terpelihara juga warisan para anbiya secara turun- temurun hingga saat ini.  Ingat, nilai kemuliaan dan kesempurnaan iman seorang gadis terletak kepada malunya iaitu tidak sesekali membenarkan keperawanannya dirampas oleh yang bukan menjadi halalnya.


(Bersambung....)

0 comments: