Tuesday, July 19, 2011

NILAI DARA DAN TERUNA
Usai menonton filem ‘Aku Masih Dara’ arahan Ahmad Idham membuatkan penulis berfikir sejenak tentang kemerosotan nilai dan moral dalam diri anak muda dewasa ini.
Aku Masih Dara mengisahkan perjalanan hidup 3 sekawan yang mempunyai latar belakang, serta pemahaman tentang agama Islam yang berbeza iaitu Sofia, Hani dan Alyssa. Sofia merupakan seorang gadis kaya yang dibesarkan dalam keluarga Islam tetapi mengamalkan budaya dan agama Kristian. Hani pula merupakan gadis yang dilahirkan dalam kemiskinan. Kemiskinan itu menyebabkannya menjadi liar dengan berkawan dengan seorang lelaki bernama Zack dan terlibat dengan seks bebas, arak, penggunaan dadah dan ectasy. Alyssa pula merupakan gadis yang berpelajaran, lahir dalam keluarga yang berpelajaran tetapi suka berhibur. Alyssa mempunyai seorang sepupu lelaki yang alim dan diberi amanah oleh ayah Alyssa untuk menasihatinya tentang agama.
Aku Masih Dara turut juga mempertemukan 3 orang kawan baik yang berbeza pendapat mengenai ‘dara’. Pada Sofia,walau sebebas manapun hidupnya, ‘dara’nya hanya untuk lelaki yang halal menjadi suaminya. Hani pula memandang enteng tentang ‘dara’ dan mengatakan dara tidak lagi relevan. Alyssa pada awalnya seorang gadis suci tetapi telah dinodai apabila mengikut Hani ke ‘exclusive party’ yang menganjurkan pergaulan bebas, minum arak dan seks bebas.
Persoalan ‘dara dan teruna’ memang merupakan isu hangat untuk dibincangkan. Dara merupakan bukti kegadisan seseorang sama ada masih suci atau pernah melakukan persetubuhan. Teruna juga merujuk kepada kesucian si jejaka yang masih belum pernah menjalin hubungan intim. Namun penulis sangat sedih apabila masyarakat remaja kita hari ini beranggapan seseorang yang masih dara dan teruna sebelum berkahwin adalah seorang yang kolot dan ketinggalan dalam kepantasan waktu dan pembangunan. Adakah mereka lupa menjaga ‘dara/ teruna’ itu sama ertinya dengan menjaga maruah diri? Apa makna maruah diri pada diri mereka? Adakah dengan berzina sebebas-bebasnya menjadikan mereka semakin bermaruah?
Budaya zina dan hilang dara dan teruna semakin meruncing dewasa ini. Saban hari membaca akhbar, ada sahaja laporan mengenai kes buang anak kesan buruk dari parahnya budaya zina ini. Sebuah laporan akhbar tempatan melaporkan sebanyak 60 peratus gadis hilang perawan akibat hubungan seks luar nikah menjelang umur 18 tahun. Bukan setakat itu, pencabulan maruah diri, rogol juga amat menakutkan. Laporan lain menyatakan bahawa setiap 17 minit, satu kes rogol berlaku di Malaysia! Betapa parah moral anak muda kita pada hari ini.
MENJAGA MARUAH DIRI ADALAH SALAH SATU MAQASID SYARIAH
Islam begitu menitik beratkan tentang persoalan menjaga maruah diri ini. Salah satu maqasid syariah adalah menjaga kehormatan dan maruah diri. Allah berfirman dalam KitabNya, Surah Al-Isra ayat 32 yang bermaksud.
“ Dan janganlah kamu mendekati perbuatan zina, sesungguhnya ia adalah perbuatan keji dan jalan yang salah.”
Islam mengambil pendekatan, mencegah lebih baik daripada merawat. Ia selari dengan intipati yang cuba disampaikan dalam ayat di atas. Ayat tersebut jelas melarang kita dari mendekati semua bentuk perbuatan yang menjurus kearah penzinaan. Daripada muamalah antara lelaki dan wanita yang tidak terjaga, membaca bahan-bahan lucah di komik-komik, blog, dan sebagainya, ber’sms’ dengan berlainan jantina yang berbau ghairah, mendengar lagu-lagu membangkitkan syahwat, menonton cerita porno, dan apa sahaja yang berbaur zina. Semuanya dilarang dan harus dijauhi.
Remaja kita hari ini seakan-akan tidak punya rasa malu. Rasulullah s.a.w. bersabda yang mafhumnya, ‘ bahawasanya setengah yang didapati manusia dari perkataan nabi yang terdahulu; ialah apabila engkau tidak malu maka kerjakanlah apa yang engkau kehendaki. (Riwayat Bukhari). Muda belia kita bergaul sebebas-bebasnya sehingga terjerumus ke lembah zina tanpa hadir perasaan malu dalam sanubari. Malah, kita pernah digemparkan oleh seorang gadis berusia 16 tahun begitu berbangga kehilangan ‘dara’ lalu diuar-uarkan di laman sosial sehingga mengundang kecaman dari masyarakat dan ada juga yang memihak kepadanya. Lelaki si hidung belang pula berbangga dan terasa hebat kerana meniduri ramai gadis. Inilah yang disampaikan melalui hadith di atas iaitu mengerjakan sesuatu yang terlarang sesuka hati dan berbangga dengan maksiat yang dilakukan. Larangan dan kecaman tidak langsung membenihkan perasaan takut, tetapi sebaliknya.
Malah zina ini sudah mula menjadi budaya jika tidak ditangani segera oleh semua pihak. Sikap ibu bapa yang terlalu terbuka membiarkan anak-anak bebas lepas menjalani kehidupan mengikut suka hatinya memburukkan lagi keadaan. Di tambah pula dengan keadaan masyarakat yang ‘malas menjaga tepi kain orang’ semakin meruncingkan budaya zina hari ini. Penggunaan kata ‘buat projek’ apabila berdua-duaan di tempat sunyi menjadi senda gurau. Istilah ‘projek’ adalah tidak tepat, kerana paling tepat adalah istilah zina. Penggunaan ini perlu diperbetulkan supaya masyarakat sedar bahawa perbuatan itu dilarang sama sekali yang perlu diambil tindakan, bukan menjadi bahan gurauan semata-mata.
PEMERKASAAN SAHSIAH DIRI
Generasi muda kita harus dibangunkan. Program-program membina generasi muda perlu diperkasakan. Namun malangnya, kebanyakan program hanya berbentuk fizikal semata-mata tanpa ada suntikan kerohanian dan pembinaan akhlak. Hari ini, keperluan utama adalah pengisian kerohanian dan spiritual. Bertahun- tahun di sekolah belajar tentang ilmu agama dan moral secara formal tidak menjamin seseorang itu terbangun adab dan sahsiahnya.
Usaha memupuk adab dikalangan generasi muda kita perlulah diambil penting dan istiqomah oleh semua pihak daripada institusi keluarga, institusi pendidikan hinggalah kepada institusi pemerintahan Negara. Malah pendidikan agama dan moral perlulah melangkaui batas akademik semata-mata. Aspek pentarbiyahan jiwa nurani pula perlulah berterusan dan bukan setakat habis sejurus tamat zaman persekolahan.
Sebuah hadis menyatakan yang bermaksud,
Kemuliaan seseorang mu’min itu adalah kerana agamanya, maruahnya adalah terletak pada akalnya dan kedudukannya adalah bergantung kepada akhlaknya.” (Riwayat Ibnu Hibban dan Baihaqi).
Sudah terang lagi bersuluh, agama, ibadah, dan akhlak adalah elemen penting dalam Islam. Belumlah sempurna keislaman dan keimanan seseorang Muslim itu jika elemen ini masih pincang. Maruah dan jati diri adalah cerminan tahap keimanan dan akhlak seseorang itu. Generasi muda yang bermaruah dan berakhlak mulia merupakan cita-cita. Cita-cita ini tidak akan tercapai tanpa adanya usaha. Justeru itu, semua pihak bertanggungjawab dalam memastikan kelahiran sebuah generasi muda baru yang terbangun jiwa dan raganya dengan cahaya Islam yang gemilang. Ayuh, generasi muda sekalian, bangkitlah demi kesucian agamamu!

2 comments:

Jurnal Murahan said...

"Program-program membina generasi muda perlu diperkasakan. Namun malangnya, kebanyakan program hanya berbentuk fizikal semata-mata tanpa ada suntikan kerohanian dan pembinaan akhlak"

setuju

Faridah Mohd Tap said...

Terima kasih..

saya sungguh terharu kerana awak adalah follower setia blog saya. Tidak jemu memberi sebarang komen.

Kehadiran En Yop amat bermakna...hehe