Monday, April 25, 2011

SEUTAS TASBIH ITU...

Mataku memandang tasbih dihadapanku. Biji tasbih berwarna koko gelap itu mensayukan hati. Hatiku sayu. Tetiba kurasa sudah begitu jauh. Jauh denganNya.
Berapa kali aku mengingatiNya dalam sehari selain dalam solat. Adakah aku mengingatiNya dalam segala tindak-tandukku? Adakah aku mengutamakanNya dalam semua urusanku? Adakah aku ikhlas keranaNya dalam seluruh ibadahku? Persoalan itu bertalu-talu menerjah mindaku. Aku tertunduk sayu. Sayu mengenang kelemahan diri. Ampunkan aku Ya Allah.
Mataku mula bergenang. Aku sayu. Aku ingin kembali kepadaMu. Ampunkanlah aku.
Aku selak helaian demi helaian bukuku yang belum habis dibaca, Personaliti Wanita yang Disayangi Allah dan Rasul’. Mataku tertarik pada helaian muka surat 29 yang bertajuk Mengenal Tahap Keimanan. Aku baca satu persatu. Huruf demi huruf. Baris ke baris.
Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh At-Tabrani mentakrifkan iman sebagai mafhumnya ‘yakin dengan hati, diikrarkan dengan lidah dan dilaksanakan dengan perbuatan.’ Ini memberi maksud seseorang individu itu dikira benar-benar beriman jika hati, percakapannya serta amalannya selari dengan keimanan kepadaNya. Sebagai ilustrasi, seseorang yang percaya Allah itu Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya, mana mungkin percaya kepada karut-marut seperti tangkal yang boleh melindunginya. Jika sebaliknya, percaya kepada kuasa tangkal menjamin keselamatan kepada dirinya, seolah-olah telah menafikan kekuasaan dan keEsaan Allah Ta’ala. Maka imannya itu boleh jadi tertolak dan jatuh kepada syirik. Na’zubillahi min zalik.
Setelah habis dibaca tentang tingkatan keimanan seseorang, aku terdiam, berfikir sejenak. Oh Tuhan, jauh lagi perjalanan diri hamba yang daif ini ingin menuju iman hakikat- tingkatan iman yang tertinggi. Aku tertunduk. Sayu. Sebak. Adakah ruang untukku menggapai tingkatan iman itu? Ya Allah, kuatkan hatiku. Tetapkan hatiku supaya benar-benar beriman kepadaMu.
Nota Mimosa:
Bersyukur kepada segala rasa sayu kerana dengan perasaan itu, kutahu Allah masih sayangkanku dan mahu aku dekatkan diri denganNya. Terima kasih Ya Rabbul Izzati dengan kesayuan pada hati hambaMu yang tersangat lemah ini. Aku mengambil dan menggengam tasbih dihadapanku. Allahu Akbar!

2 comments:

Jurnal Murahan said...

i dont know , i just feel so glad... ;-D

Faridah Mohd Tap said...

:)

I'm glad u here

Thanks