skip to main |
skip to sidebar
Oleh:
"Kita mulia kerana Islam, bangkitlah dari perasaan putus asa"
"Sebaik-baik MANUSIA ialah yang memberi MANFAAT kepada manusia lain." (Hadis)
Thursday, August 17, 2017
Thursday, November 1, 2012
MERANCANG HIJRAH
Assalamu’alaikum kepada semua pembaca
khususnya adik-adik remaja yang dikasihi sekalian. Ketika sedang menyiapkan
artikel kali ini, penulis merasakan masa berlalu sangat pantas. Rasanya seakan
baru sahaja memasuki tahun 2012. Tetapi untuk beberapa hari lagi, tahun 2012
ini akan meninggalkan kita. Paling penting, kita umat Islam akan memasuki bulan
Muharam tidak lama lagi. Kedatangan Muharam sudah tentu menjadi titik permulaan
untuk kita semua berhijrah melakukan transformasi diri yang lebih baik daripada
sebelumnya. InsyaAllah.
Allah berfirman dalam surah Ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud:
“ Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum
sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Ayat di atas cukup jelas kepada kita betapa signifikan
melakukan hijrah dalam mengubah diri menjadi insan yang lebih baik, lebih soleh
dan lebih bertaqwa.
Pernahkah pula adik-adik remaja di luar sana mendengar
ungkapan ini ‘fail to plan is plan to
fail (gagal merancang ialah merancang untuk gagal)’? Penulis yakin tentu
ramai yang pernah mendengarnya. Walaupun begitu, sejauhmana kita benar-benar
memahami peri-penting ungkapan tersebut dalam merancang kehidupan kita?
Berikut adalah cara-cara bagaimana merancang hijrah untuk
menjadi insan remaja soleh:-
1) Tetapkan matlamat- iaitu matlamat yang
realistik. Sebagai contoh, SOLAT LIMA WAKTU SEHARI SEMALAM TANPA GAGAL+ IBADAH
SUNAT (Qiyammullail seminggu sekali, baca Al-Qur’an dan tafsirnya, amalkan
zikir mathurat setiap hari).
2) Doa dan niat. Sentiasa berdoa dan memperbaharui
niat untuk menjadi insan soleh kerana Allah Ta’ala. Perihal doa ini pernah
diungkapkan sebagai senjata orang mukmin. Doa menjadikan kita kuat ketika
lemah, memberikan kita dorongan ketika kita rasa putus asa, menjadikan kita
hamba yang sangat lembut hati dan sentiasa mendambakan pertolongan Allah.
Manakala, memperbaharui niat pula akan mengingatkan diri untuk sentiasa fokus
mencari keredhoaannya.
3)
Usaha dan
Ikhtiar. Kita perlu berusaha dan mencari pilihan terbaik (ikhtiyar)untuk menjayakan proses
mencapai matlamat hijrah. Antara usaha yang boleh dibuat ialah seperti
menghadiri kelas-kelas tahsin solat, tahsin bacaan Al-Qur’an yang ada di
kawasan terdekat, berkawan dengan sahabat-sahabat yang soleh, meninggalkan
majlis atau program sia-sia (lagho) dengan mendekati majlis-majlis ilmu,
kem-kem ibadah untuk memantapkan rohani. Jangan segan untuk mencari ilmu agama
walaupun agak terlambat kerana pepatah Arab pernah menyatakan ‘tuntutlah ilmu
walaupun sehingga ke liang lahad.”
4) Bertawakal. Proses berikutnya dalam menjayakan
rancangan hijrah diri adalah bertawakal setelah sehabis usaha dilakukan. Allah
Ta’ala berfirman, ‘faiza ‘azamta fa tawakkal ‘ala Allah’ (Maka setelah kamu
berazam, maka bertawakkallah ke atas Allah Ta’ala.) Tawakal ini penting sebagai
memupuk diri supaya sentiasa bergantung kepada Allah Ta’ala dalam kehidupan.
5)
Muhasabah
diri. Bagaimana mahu menentukan rancangan hijrah sentiasa berjalan
baik? Caranya sudah tentu dengan melakukan muhasabah diri. Tidak ada salahnya
kalau kita membuat jadual ibadah tahunan kita untuk tujuan menilai diri.
Sekurang-kurangnya, dengan cara itu, kita dapat memperbaiki segala kelompongan
dan usaha hijrah berkesan.
Kesimpulannya, ‘tepuk dada, tanyalah iman.’ Jom adik-adik
remaja! Kita rancang hijrah kita menjadi insan yang lebih soleh, lebih
bertaqwa. Selamat maju jaya dan salam awal Muharam pada semua. Wassalam.
Monday, October 22, 2012
FOBIA ISLAM DALAM FILEM BARAT
Usai menonton filem baru penuh
aksi Taken 2 lakonan Liam Neeson
membawa penulis kepada suatu kesimpulan mudah iaitu ia merupakan satu lagi
anasir negatif berbaur jahat Barat ke atas masyarakat Islam. Filem tersebut
adalah kesinambungan dari filem pertama Taken
yang mengkisahkan seorang bekas agen Kerajaan, Brian Mills yang menyelamatkan
anak perempuannya, Kim yang telah diculik oleh sekumpulan penjahat beragama
Islam. Filem ini juga telah menjuarai carta filem beberapa minggu selepas
penayangannya di pawagam-pawagam seluruh Malaysia.
Mills ditampilkan sebagai hero
dalam filem Taken pertama, manakala dalam filem Taken 2 anaknya Kim memainkan peranan heroin yang cuba
menyelamatkan ayah dan ibunya yang diculik oleh sekumpulan pengganas Muslim
yang ingin membalas dendam ke atas kematian anak dan rakan-rakan mereka dalam
Taken pertama. Sudah tentu watak antagonis dalam filem tersebut adalah orang
Islam. Malah babak pertama dalam filem ini dibuka dengan bacaan surah
al-Fatihah oleh ahli keluarga dan teman-taulan semasa pengkebumian para
penjenayah muslim yang telah dibunuh oleh Mills dalam misi menyelamatkan anak
gadisnya yang di culik dalam filem Taken pertama.
Filem ini walaupun menarik kerana
penuh aksi dan terdapat unsur kekeluargaan, tetapi pada masa yang sama ia juga
berbahaya kerana menyebarkan semangat fobia Islam. Dalam filem tersebut, Islam
digambarkan sebagai agama terroris di mana para penjahat, iaitu penganut Islam
terlibat dalam jenayah kolar putih seperti sindeket pelacuran, pembunuhan dan
jenayah lain. Malah para penjenayah juga mengamalkan budaya Islamik seperti
memberi salam (secara sempurna) kepada rakan penjenayah yang lain. Laungan azan
juga kerap kali kedengaran setiap kali adanya babak-babak cemas penuh aksi
dalam filem tersebut. Lokasi penggambaran filem iaitu di Istanbul, Turki iaitu
Negara tinggalan Khilafah Uthmaniyyah terakhir selepas dihapuskan pada tahun
1924 seakan-akan sengaja mengguris hati umat Islam di seluruh dunia.
Penulis maklum, ini bukanlah
filem pertama Barat terutamanya Amerika yang menyemai benih-benih fobia Islam
melalui seni perfileman. Selain filem Taken (siri satu dan dua), terdapat
filem-filem lain yang mendapat sambutan hangat antaranya Beyond Borders, Special
Forces dan terbaru Innocent of
Muslims yang mencetuskan keadaan huru-hara apabila umat Islam seluruh dunia
berang dan segelintir mereka memilih untuk menyerang kedutaan Amerika di
beberapa Negara Islam.
Sudah dijangka pihak Barat akan
mempertahankan filem-filem tersebut terutamanya Innocent of Muslims atas nama ‘kebebasan asasi’ tetapi malangnya
mereka tidak menghormati sensitiviti agama masyarakat muslim hari ini. Barat
juga kelihatan berat sebelah dan bersikap defensif apabila menampilkan
watak-watak utama dalam kebanyakan filem mereka yang sudah tentu digambarkan sebagai
polis dan hakim dunia walaupun hakikatnya banyak peristiwa besar kehancuran
jiwa manusia dalam sejarah dunia adalah bermula dari tangan mereka sendiri.
Islam Bukan Agama Keganasan: Suatu Mitos dari Barat yang Memakan Diri
Tuduhan jahat Barat mengaitkan
Islam dengan keganasan sudah tentu jauh meleset. Sejarah juga telah mencatatkan
Islam tersebar ke pelusuk dunia tanpa melalui mata pedang sepertimana yang
dicanangkan oleh mereka. Lihat sahaja Mesir, walaupun telah diperintah oleh
Muslim untuk beberapa abad sehingga hari ini, tetapi statistik menunjukkan
lebih 40 ribu penduduk Mesir adalah beragama kristian secara keturunan. Malah
juga di India, lebih 80 peratus adalah beragama Hindu walaupun Islam pernah memerintah
wilayah India. Di Malaysia dan Indonesia, Islam menjadi agama persekutuan dan
rasmi bagi kedua-dua Negara tanpa sebarang pertumpahan darah. Ini sudah cukup
menafikan mitos dari Barat yang mengatakan Islam agama yang menganjurkan
keganasan.
Suatu fenomena yang paling
menarik ialah peningkatan penganut Islam di Amerika. Walaupun pelbagai cara
dibuat oleh Amerika untuk menyemarakkan api fobia Islam ke serata dunia, tetapi
sebaliknya pula yang berlaku. Ini boleh dilihat dengan melihat gelombang peningkatan
penduduknya yang mula memahami dan seterusnya menganut Islam. Berita-berita
serong mengenai Islam telah sebenarnya membuka mata masyarakat Barat lain untuk
mengetahui ajaran Islam sebenar.
Mitos yang dicanang Amerika
sebenarnya memakan diri. Di Amerika sahaja pada tahun 1970, terdapat 100 ribu
Muslim di negara itu tetapi pada tahun
2008, terdapat 9 juta Muslim dan dijangka terus meningkat untuk tahun-tahun
mendatang. Peningkatan ini berterusan terutamanya selepas publisiti meluas
mengenai Islam rentetan daripada peristiwa ‘September Hitam’- 9/11. Fenomena
ini dibantu oleh pendakwah Muslim yang komited menjelaskan ajaran sebenar Islam
selain ajaran Islam itu sendiri sesuai dengan fitrah manusia.
Kesimpulannya, pernah George
Bernard Shaw menegaskan, ‘agama yang akan menjadi pilihan golongan terpelajar,
bertamadun dan yang sedar pada masa hadapan hanyalah Islam.’ (Dipetik melalui
Mohamad Sofee Razak, Islam dari Cermin
Mata Orientalisme, Pemikir: Oktober- Disember 2011.) Justeru, elemen fobia
Islam dalam filem-filem terbitan Barat harus juga ditangani dengan adanya
kerja-kerja dakwah yang lebih sistematik dan menyeluruh seperti terbitan filem
Islami yang menggambarkan ajaran Islam sebenar, menghidupkan Al-Qur’an dan sunnah
Rasulullah dalam kehidupan harian dan menganjurkan dialog-dialog peradaban
untuk memperbetulkan persepsi masyakarat tentang Islam sebenar. Wallahu’alam.
Wednesday, September 19, 2012
KESENGSARAAN MANUSIA PERAHU DAN KEMPEN ‘CITIZENSHIP FOR ROHINGYA’
Pada 14 September yang lalu, Angkatan Belia Islam Malaysia
telah membuat satu sidang media bagi menuntut Kerajaan Myanmar beri hak
kerakyatan kepada etnik Rohingya di pejabat Abim, Taman Cemerlang, Gombak yang
turut dihadiri oleh para ustaz dari Persatuan Muslim Rohingya Malaysia.
Kepedulian ini bukanlah suatu
usaha baru oleh Abim kerana seawal 1990-an lagi Abim telah mendesak agar
Kerajaan Myanmar lebih prihatin dengan nasib etnik yang paling dilupakan di
rantau Asia ini. Namun begitu, Kerajaan Junta seolah-olah tidak terkesan dengan
tohmahan masyarakat dunia yang menentang kekejaman yang dilakukan mereka ke
atas etnik Muslim Rohingya ini. Isu Rohingya ini reda seketika sampailah
berlakunya satu tragedi yang menarik perhatian dunia sekali lagi. Rohingya
dikejami lagi dalam misi pembersihan etnik berkala oleh Junta Tentera Myanmar.
Konflik yang berlaku di antara
etnik muslim Rohingya dan Buddha di Arakan telah menarik perhatian dunia pada pertengahan
tahun ini apabila dikatakan seorang gadis Rakhine telah dirogol secara sadis oleh
etnik Rohingya dan menyebabkan rusuhan berdarah terus berlaku hingga ke hari
ini. Ia bermula dengan pembunuhan 10 orang Muslim di Taunggote, daerah Tongu pada 3 Jun 2012 yang lalu dalam
sebuah bas ketika sedang pulang dari majlis tabligh untuk kembali ke Rangoon
oleh sekumpulan pengganas dan kumpulan rasis etnik Rakhine. Rentetan dari kes
rogol tersebut, puak pengganas Rakhine Buddha telah menyerang semua penduduk
Islam di Akyap, ibu negeri Arakan yang digambarkan sebagai terburuk sepanjang
beberapa dekad yang lalu.
LATAR BELAKANG PENINDASAN ETNIK MUSLIM ROHINGYA
Menurut Persatuan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) pada 2009, terdapat 25 peratus daripada populasi Arakan adalah
etnik Rohingya. Arakan ini terletak di sebelah Barat Myanmar yang bersempadan
dengan Bangladesh. Mereka adalah keturunan daripada para pedagang Arab, Turki,
Parsi dan lain-lain yang telah berkahwin dengan penduduk setempat seperti
Mughals, Pathan dan Bengali. Kini umat Islam Rohingya merupakan 1/3 daripada
jumlah penduduk wilayah Arakan dan selebihnya adalah Buddha Arakanese.
Nasib Etnik Muslim Rohingya mula
terumbang-ambing apabila mereka telah disisihkan daripada Arakan sejak pada
tahun 1940-an lagi. Keadaan semakin buruk apabila Myanmar dipimpin oleh junta
tentera pada tahun 1962. Kepimpinan Junta tidak mengiktiraf etnik Rohingya yang
merupakan penduduk asal negeri Arakan tetapi dikatakan sebagai pendatang kerana
perbezaan fizikal yang mirip kepada Bangladesh dan Arab.
Etnik ini kemudian terus ditindas
apabila dasar fobia Islam (Islamphobia)
disalurkan melalui penggubalan Undang-undang Kerakyatan Burma (Burma
Citizenship Law) yang disahkan pada 1982. Undang-undang yang bersifat rasis
agama dan penuh diskriminasi bukan sahaja menafikan kerakyatan, malah mereka seolah-olah
melukut di tepi gantang di tanah air mereka sendiri sehingga menyebabkan ramai
etnik Rohingya menjadi pelarian di beberapa negara jiran dan Asia Barat.
Di era 1990-an sahaja, terdapat
86, 900 daripada 94,000 pelarian di Malaysia adalah warga Myanmar di mana 25
peratus daripadanya adalah etnik Rohingya dan selebihnya adalah etnik Chins dan
lain-lain.(Arzura Idris, 2012)
Antara bentuk pembersihan etnik Roghinya ini
adalah:-
- · Penafian kerakyatan, sijil kelahiran dan sijil perkahwinan mereka.
- · Perampasan tanah-tanah milik mereka bagi meneruskan projek pembinaan saluran paip gas dan minyak yang merentasi Wilayah Arakan.
- · Menjadi mangsa perhambaan moden sebagi buruh paksa tanpa dibayar gaji di tapak pembinaan jalan raya, kereta api dan bangunan berek tentera.
- · Sekatan makanan sehingga menyebabkan mereka hidup dalam keadaan kebuluran.
- · Penyembelihan beramai-ramai sepertimana pada tahun 1942 dengan kematian lebih daripada 100, 000 akibat dibunuh.
- · Menghalau serta merta seramai lebih 300, 000 di kalangan mereka ke Bangladesh pada tahun 1978. Malangnya Kerajaan Bangladesh enggan untuk menyediakan makanan dan keperluan lain menyebabkan ramai yang mati akibat kebuluran dan penyakit.
- · Pada tahun 1991, seramai 268,000 dari etnik ini melarikan diri kerana Myanmar tidak lagi selamat untuk didiami akibat pembersihan entik berkala oleh tentera Myanmar.
Sehingga hari ini, kerja-kerja
pembersihan etnik Rohingya di Myanmar telah mencatatkan kehancuran jiwa dan
prasarana yang besar. Sejumlah 43 kampung penduduk telah diserang dengan 5,915
rumah dibakar, 555 orang mati dibakar, 300 orang cedera parah, 34 masjid
dibakar, 4 universiti dan 24 sekolah rosak, 300 penduduk telah ditangkap, 90
ribu orang menjadi pelarian, 500 ribu menderita kelaparan kerana tidak boleh
meneruskan aktiviti pertanian, dan 20 ribu orang mendiami pinggiran sungai dan
hutan untuk menyelamatkan diri.
PENANGKAPAN ARBITRARI @ TIDAK BERASAS PENDUDUK TEMPATAN
Malah kerajaan Junta juga telah
melaksanakan penangkapan sejumlah penduduk
tempatan secara arbitrari dan tidak berasas. Tidak terkecuali seorang
Doktor ternama di wilayah bergolak itu
bersama ahli keluarganya. Beliau selalu menjadi wakil umat Islam dalam
menyalurkan maklumat dan menyelesaikan konflik antara etnik Rohingya dan
Kerajaan Junta Myanmar.
Pada sidang media yang lalu, Abim
juga mendesak supaya bapa (Dr. Tun Aung- Presiden Majlis Agama dan juga seorang
doktor), kakak (Mya Nandar Aung-petugas di UNCHR Maungdaw) dan abang ipar
kepada seorang pelajar warganegara Myamnar (kini penuntut di IPTA) yang ditahan secara arbitari dibebaskan serta-merta.
Ketiga-tiga mangsa telah di tahan masing-masing pada 10 Jun 2012 (bapa Aishah)
dituruti penahanan kakak dan abang ipar Aishah pada 18 Jun 2012. Mereka adalah
sebahagian daripada mangsa kempen pembersihan etnik oleh puak junta Myanmar
dengan mensabitkan ketiga-tiga mereka dengan kesalahan berat tanpa bukti.
Dr. Tun Aung, 65 tahun ialah juga
penghidap penyakit Tumor Pituitari dan sedang menjalani rawatan kini berhadapan
dengan undang-undang bagi lima (5) pertuduhan iaitu:-
1) Tidak
menghormati Negara,
2) Menjadi
dalang kepada tercetusnya rusuhan,
3) Memegang
kad pengenalan diri palsu,
4) Memegang
kewangan asing, dan
5) Penyalahgunaan
alat teknologi dan media.
Beliau kini dipenjarakan dalam
ruang yang teruk, kotor juga disiksa fizikal dan mental. Beliau juga telah
dinafikan hak untuk mendapatkan peguam, tidak dibenarkan untuk membela diri dan
tidak dibenarkan untuk memanggil saksi bagi membuktikan beliau tidak bersalah
atas kesemua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Manakala pertuduhan yang
dikenakan ke atas kakak dan abang ipar pelajar terbabit adalah memegang kad
pengenalan diri palsu, penyalahgunaan alat teknologi dan media serta terlibat
dengan politik. Akibat penahanan ini, anak mereka yang berumur dua tahun hilang
tempat bergantung dan tiada yang menjaganya. Sudah tentu jika keadilan tidak
ditegakkan, nasib anak kecil ini akan hancur berkecai dan inilah yang diimpikan
oleh junta tentera Myanmar yang giat melakukan pembersihan etnik dengan
pelbagai cara ke atas masyarakat yang tidak berdosa.
KEMPEN ‘CITIZENSHIP FOR ROHINGYA’
Ekoran dari pembersihan etnik
yang tidak berperikemanusiaan ke atas etnik Rohingya berdekad lamanya, Abim
komited membela nasib etnik Muslim Rohingya dengan melancarkan kempen ‘Citizenship
For Rohingya’ di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Justeru itu, Abim
mendesak agar:-
1) Kerajaan
Myanmar bertindak lebih adil dengan mengiktiraf kerakyatan etnik Rohingya
dengan jaminan hak asasi yang terpelihara selaras dengan Artikel 15 Deklarasi
Hak Asasi Kemanusiaan PBB,
2) Membebaskan
Dr. Tun Aung serta anak perempuan dan menantunya daripada penjara dan
menggugurkan segala pertuduhan tanpa bukti yang dikenakan ke atas mereka.
Abim juga menyeru agar semua rakyat Malaysia terlibat dalam kempen ‘Citizenship For Rohingya’ supaya keadilan dapat ditegakkan demi kemaslahatan etnik Rohingya yang juga dikenali sebagai ‘Palestine’ di Asia dan manusia perahu.
Abim juga menyeru agar semua rakyat Malaysia terlibat dalam kempen ‘Citizenship For Rohingya’ supaya keadilan dapat ditegakkan demi kemaslahatan etnik Rohingya yang juga dikenali sebagai ‘Palestine’ di Asia dan manusia perahu.
Oleh,
FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Pengajian Umum,
Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan.
(Juga merangkap aktivis Kempen ‘Citizenship for Rohingya’)
Tuesday, May 22, 2012
ISTIQOMAH: CIRI PENTING REMAJA MUSLIM BERWAWASAN
Antara sifat mulia yang diberikan darjat tinggi dalam
Islam adalah beristiqomah. Ya, alam remaja penuh dengan 1001 pesona menggoda
dan onak duri yang memakan diri bila sekali terlalai. Dengan istiqomah, remaja muslim
mampu menepis segala dugaan yang menguji keimanan supaya tetap di atas manhaj
yang lurus menuju kehidupan yang diredhai Ilahi. InsyaAllah.
Istiqomah adalah satu ciri penting kearah membina jati
diri remaja muslim berwawasan. Remaja berwawasan mempunyai tanggapan dan
pandangan yang jauh dan mendalam tentang perkembangan masa depannya atau dengan
lain perkataan, remaja berwawasan adalah remaja yang tahu ke mana hala tuju
kehidupannya.
Bagi remaja muslim, wawasan kehidupannya tidaklah terhad
kepada duniawi semata-mata tetapi untuk alam yang lebih abadi iaitu alam
akhirat. Disitulah penghidupan sebenarnya, sementalahan dunia ini diibaratkan
sebagai ladang untuk kita menanam sebanyak-banyaknya benih amal supaya hasilnya
dapat dikutip sebagai bekalan bertemu-Nya, Allah Rabbul ‘Izzati. InsyaAllah.
Namunpun begitu, kehidupan di dunia ini tidak semudah yang
di jangka. Pelbagai pesona yang menggoda syahwat menyebabkan ramai remaja muslim
terjerumus ke dalam lembah kehancuran
dan kehinaan. Justeru itu, sedari awal Islam mementingkan untuk kita istiqomah
di atas jalan-Nya. Untuk itu, Rasulullah sebagai pembawa risalah dari Allah S.A.W
telah bersabda, bermaksud,
“Dari Abu Amr, -ada juga yang mengatakan- Abu ‘Amrah,
Suufyan bin Abdillah Ats Tsaqofi radhiallahuanhu dia berkata, saya berkata : “
Wahai Rasulullah shollallohu ‘alaihi wa sallam, katakan kepada saya tentang
Islam sebuah perkataan yang tidak saya tanyakan kepada seorangpun
selainmu. Baginda bersabda: Katakanlah: saya beriman kepada Allah, kemudian
berpegang teguhlah (istiqomahlah). (Riwayat
Muslim).
LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK SIFAT ISTIQOMAH
Istiqomah senang dilafaz, tetapi sukar sekali
dilaksanakan. Oleh itu penulis akan berkongsi beberapa hal utama yang boleh
membantu kita untuk istiqomah seperti yang dipetik daripada Syarah Hadith
Istiqomah oleh Syaikh Prof. Dr. Abdul Rozzaq Al-Badr di RadioRodja.com (sumber:
us.kajian.net).
Pertamanya ialah doa. Doa
sebagai kunci segala kebaikan adalah senjata untuk kita memohon kepada Allah
agar sentiasa istiqomah dengan akidah yang benar hingga ke akhir hayat dunia.
Firman Allah Ta’ala dalam surah Al-‘Imran, ayat 8 yang bermaksud: “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati
kami cenderung kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan
kurniakanlah kami rahmat daripada sisi-Mu kerana sesungguhnya Engkaulah Maha
Pemberi.”.
Keduanya ialah mujahadah iaitu
berjuang bersungguh-sungguh untuk mengamalkan perintah Allah Ta’ala dan
menjauhi segala larangan-Nya. Remaja harus tabah dan istiqomah untuk membawa
imej muslim sebenar walau di mana jua mereka berada. Dengan pelbagai ancaman ideologi
yang cuba memesong akidah dan amalan mengikut syariah, remaja harus bulatkan
tekad, tingkatkan iltizam beristiqomah dengan ajaran Islam yang syumul sebagai
identiti diri.
Ketiga ialah solat. Menurut Syaikh
Prof. Dr. Abdul Rozzaq Al-Badr, solat adalah wasilah atau jalan supaya tetap
teguh (thabat) di atas jalan Allah. Ini
kerana setiap kali solat, kita akan membaca surah Al-Fatihah sebagai salah-satu
rukun solat. Dalam bacaan Al-Fatihah, kita sebenarnya sedang berdoa untuk sentiasa
istiqomah di jalan-Nya yang lurus. Remaja hari ini harus kembali menghidupkan ruh
solat dalam jiwa dan raga kerana solat adalah perisai diri dari segala
kejahatan dan kemaksiatan.
Berikutnya ialah membaca Al-Qur’an. Al-Qur’an mestilah
dijadikan wirid harian sebagai pengubat jiwa dan rohani yang ketandusan. Ia
bukan sekadar dibaca, tetapi perlu diiringi dengan kefahaman terhadap intipati
yang ingin disampaikan (tadabbur)
melalui orang-orang soleh dan buku-buku agama yang benar. Remaja Muslim harus
mendekatkan diri dengan Al-Qur’an kerana ia adalah petunjuk jalan yang benar.
Zikr Al-Ma’thurat juga yang dibaca waktu pagi dan petang juga penting sebagai pelindung
sehari-hari kita dalam menjalani kehidupan dunia.
Selain itu, hal lain yang boleh
memperkukuh diri untuk beristiqomah ialah dengan menjauhi segala sumber fitnah iaitu tempat tersebarnya segala
syahwat seperti pusat hiburan, pusat judi dan sebagainya. Islam melarang kita
menjerumuskan diri ke tempat-tempat sedemikian kerana ia akan merosakkan kepercayaan
(thiqah) diri kerana kita gagal
istiqomah untuk kekal di atas manhaj Islam. Walaupun begitu, Allah memberi
peluang untuk kita kembali kepada-Nya melalui pintu taubat kepada yang
terlanjur derhaka kerana manusia itu sifatnya lupa dan lalai.
Seterusnya ialah memilih sahabat-sahabat yang baik lagi
soleh. Pada peringkat umur remaja, rakan sebaya adalah agen sosialisasi
terpenting selepas keluarga. Justeru, pemilihan rakan yang soleh membantu
seseorang remaja untuk kekal istiqomah sebagai muslim yang taat dan berwawasan.
Sahabat yang baik diibaratkan sebagai penjual minyak wangi dimana kita akan mendapat
tempias wangiannya, dan sahabat yang jahat diibaratkan sebagai pembuat besi
dimana kita mendapat tempias bau tengik besi tersebut.
Menjaga diri dari tipu-daya syaitan
juga antara hal yang perlu dititik-beratkan untuk setiap remaja istiqomah
dengan wawasan dan jati diri muslim. Segala kesukaan syaitan seperti lalai
mendirikan solat, malas, berhibur, berangan-angan, bermewah-mewah dan leka dengan
pelbagai alatan teknologi merupakan antara ruang dan peluang untuk syaitan
laknatullah menipu daya manusia ke jalan yang dimurkai Tuhan. Justeru itu,
menjadi tanggungjawab setiap remaja muslim menutup segala pintu-pintu yang
menggoyahkan identiti sebagai remaja muslim yang berwawasan dengan bersederhana
(wasatiyyah) dalam semua perkara.
Akhirnya ialah mengingati hari
akhirat sebagai motivasi untuk remaja muslim sentiasa beristiqomah. Tiada yang
lebih indah bagi seseorang Muslim apabila di akhir hayat dunianya dikurniakan
husnul khatimah dan berbahagia di alam abadi. Pada umur muda remajalah, kita
digalakkan menggunakan segala kekuatan kurniaan Tuhan dari aspek intelek, idealism,
tenaga dan jiwa untuk membuat sebanyak-banyak amal kebajikan untuk hari
kemudian yang lebih abadi.
Kesimpulannya, remaja berwawasan
adalah remaja yang sentiasa istiqomah dengan keimanan kepada Allah ‘Azza Wa
Jalla. Sifat istiqomah ini perlu dibajai dengan doa, usaha, ikhtiar dan tawakal
(D.U.I.T) supaya kekal subur di dalam diri dan menaikkan thiqah (kepercayaan) remaja muslim tatkala ramai yang kecundang.
Semoga adik-adik remaja muslimku di luar sana menjadi remaja mu’min yang
sentiasa berwawasan selari dengan ajaran Islam. Amin Ya Rabb. Wallahu’alam.
FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Pengajian Malaysia
Fakulti Bahasa dan Pengajian
Umum
Kolej UNITI, Port Dickson,
Negeri Sembilan.
(Juga mantan Exco
Tugas-tugas Khas Kesatuan Pelajar Islam Johor- PKPIM-Abim-Wadah 2008-2010)
Friday, May 18, 2012
MEMBANTU KANAK-KANAK LELAKI DAN MENDIDIK KANAK-KANAK PEREMPUAN (HELPING BOYS, NURTURING GIRLS): SUATU LONTARAN AWAL.
Suatu fakta yang diketahui umum dan perlukan perhatian
pihak organisasi pendidikan ialah nisbah mahasiswa dan mahasiswi di Institusi
Pengajian Tinggi adalah dengan jurang ketara iaitu 35: 65 yang bermula pada awal
era 1990-an hingga kini. Kemasukan pelajar lelaki dan perempuan ke IPTA untuk
pelbagai peringkat, diploma, sarjana muda, diploma lanjutan lepasan ijazah,
sarjana dan Doktor Falsafah pada sesi 2009/2010 juga menunjukkan peratusan
kemasukan yang sama.
Bagi kemasukan ke IPTA pada tahun 2009 dan 2010, nisbah
peratusan keseluruhan kemasukan pelajar lelaki kepada perempuan untuk pelbagai
peringkat adalah 39:61. Pada tahun 2009, daripada 153, 470, hanya 59, 706
adalah lelaki. Manakala, pada tahun berikutnya, jurang peratusan masih kekal
walaupun terdapat peningkatan jumlah kemasukan iaitu 65, 204 daripada 167, 159
pelajar adalah lelaki dan selebihnya adalah pelajar perempuan.
Berikut adalah statistik kemasukan pelajar ke IPTA
mengikut gender bagi peringkat Ijazah
Sarjana Muda dari tahun 2006 hingga 2012 yang menunjukkan nisbah pelajar
lelaki kepada perempuan sebanyak 37:63.
Tahun
|
Pelajar lelaki
|
Pelajar perempuan
|
Jumlah keseluruhan
|
2006
|
80,
231
|
143,
737
|
223,
968
|
2007
|
94,
337
|
153,
544
|
247,
881
|
2008
|
27,
803
|
47,
324
|
75,
127
|
2009
|
29,
051
|
50,
955
|
80,006
|
2010
|
43,
627
|
61,
750
|
105,
377
|
2011
(sesi pertama pengambilan)
|
14,
266
|
27,001
|
41,
267
|
Jumlah
|
289, 315
|
484, 311
|
773, 626
|
(Sumber:
Laman sesawang rasmi Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Berita Harian
Online, dan MStar Online, dimuat turun pada 16 Mei 2012)
Fenomena golongan perempuan mendominasi IPTA ini bukanlah
baru dibicarakan kerana ketidakseimbangan gender ke institusi pendidikan
tertiari bermula seawal tahun 1990-an. Pada era sebelumnya, pelajar lelaki
lebih medominasi IPT manakala ramai wanita tidak meneruskan pelajaran sehinggakan
telah berlaku pemberdayaan potensi kaum wanita seluruh dunia di bawah UNICEF.
Penekanan kepada kebajikan dan pemerkasaan wanita boleh
dilihat dengan tergubalnya Dasar Wanita Negara pada lewat 1980-an, penumpuan
khusus terhadap wanita dalam Rancangan Malasyia ke-enam (1990-1995) dan paling
utama tertubuhnya Kementerian khas untuk isu-isu berkaitan wanita iaitu
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2001 serta
sebarang bentuk diskriminasi ke atas wanita adalah dikira suatu jenayah yang
termaktub dalam pindaan Perlembagaan Malaysia pada Ogos 2001. (Memperkasa
Wanita-wanita di Malaysia di http://www.unicef.org/malaysia)
Kesan positif dari pengupayaan wanita dalam pendidikan
kita boleh lihat pada hari ini bilamana para wanita berpendidikan mula
menceburi bidang professional dan turut serta sebagai tulang belakang pembangunan
negara. Namunpun begitu, tidak tahu dimana puncanya, golongan lelaki
seolah-olah terpinggir sehingga berlaku perkembangan pola yang tidak seimbang
antara gender. Ini boleh dilihat apabila wanita menjuari carta kemasukan dalam
Institusi Pendidikan Tertinggi untuk beberapa dekad sehingga hari ini.
Penulisan ini bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak
tetapi ketidakseimbangan ini perlukan perhatian rapi oleh semua terutama
institusi pendidikan. Institusi pendidikan Negara dikatakan terlalu keperempuan
yang memerlukan penumpuan, pembacaan dan penghafalan fakta sehingga ramai
pelajar lelaki tewas sedari di bangku sekolah rendah lagi. Kesan lebih ketara
apabila pelajar-pelajar lelaki ke sekolah menengah kerana disinilah ‘transit’
penting yang membolehkan mereka layak ke IPT ataupun tidak. Malangnya ramai
yang ‘gagal’ oleh kerana sistem pendidikan ini melemahkan keperkasaan diri
mereka.
IMPLIKASI SOSIAL AKIBAT KEPUPUSAN LELAKI
DI MENARA GADING
Tiada kesan positif yang mampu dicoretkan kepada isu kepupusan
lelaki di menara gading. Malah, bertalu-talu pula kesan negatifnya terutama
jika dipandang dalam aspek pembangunan sosial negara-bangsa di masa hadapan.
Implikasi jangka panjang akan berlaku kepincangan dalam
unit kecil sosial sendiri iaitu keruntuhan institusi keluarga. Ini akan berlaku apabila keluarga bergantung kepada
pendapatan si isteri kerana berjawatan besar berbanding si suami yang
berkelulusan dan bergaji rendah. Natijahnya, si isteri akan mengambil peranan
suami sebagai ketua keluarga yang memberi nafkah kepada anggota isi rumah.
Malah, penumpuan si isteri di tempat kerja dengan jawatan berkelulusan tinggi
hanya akan meyebabkan fokus kepada keluarga semakin kurang.Justeru itu apakah
implikasinya kepada institusi keluarga?
Bukan itu sahaja, kesan negative lain yang semakin jelas
adalah ‘trend kahwin lewat’. Dr. Anjli Doshi Gandhi, Timbalan Ketua Pengarah
(Dasar) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyatakan
kekhuatirannya apabila kajian menunjukkan 30 peratus wanita dalam lingkungan
umur 25 dan 29 tahun masih lagi bujang manakala bagi lelaki 25 peratus dalam
lingkungan umur 30 hingga 34 tahun. Alasan yang umumnya diterima daripada
kemunculan trend kahwin lewat ini adalah tiada calon yang sesuai bagi wanita
dan kewangan tidak stabil bagi lelaki. Bukankah trend ini jika dibiarkan hanya
akan merugikan Negara? Apatah lagi Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah dalam satu
perhimpunan UMNO, 1982 menyatakan satu dasar iaitu Dasar Kependudukan Negara ke
arah mencapai 70 juta rakyat Malaysia
menjelang 2035.
Malah kekurangan golongan lelaki di menara gading
mengurangkan kualiti modal insan idaman negara yang bercita-cita menjadi negara
industri dengan kebolehan kemandirian yang setanding peringkat global.
Keciciran lelaki dalam pendidikan seolah-olah merupakan ‘dosa’ kerana gagal
untuk mendapatkan kerjaya yang baik. Inilah fenomena sosial yang merunsingkan dan
jika tidak ditangani segera akan berlaku pelanggaran sunnatullah yang lebih
teruk.
KECICIRAN LELAKI DALAM PELAJARAN:
BAGAIMANA MAHU ATASINYA?
Pelbagai cadangan dibentang oleh pelbagai ahli ademik
sebagai usaha untuk memperbetulkan ketidakseimbangan gender ini terutama dalam
aspek pendidikan. Daripada penelitian penulis, lelaki bukanlah tidak hebat,
tetapi dilemahkan oleh sistem pendidikan yang lebih memihak kepada perempuan
selain sesi pengajaran dan pembelajaran (pnp) yang tidak tepat untuk pelajar
lelaki sehingga berlakunya keciciran terutama untuk kelulusan ijazah sarjana
muda. Kekurangan penawaran jurusan yang menepati kelayakan lelaki juga menjadi
faktor kemerosotan dan keberadaan mereka di IPTA khususnya yang lebih banyak
menawarkan bidang sastera.
Ini boleh dilihat apabila penguasaan bidang-bidang aliran
sastera seperti sejarah, bahasa, ekonomi dan pelbagai lagi menjadi pilihan
pelajar perempuan untuk meneruskan pengajian ke IPTA/ S dan Politeknik. Ini
kerana kebolehan pelajar perempuan untuk membaca, menghafal fakta dan penumpuan
fokus yang lama berbanding lelaki. Pada tahun 2009, kemasukan pelajar perempuan
ke IPTA untuk jurusan sastera adalah dengan nisbah 32: 68 iaitu 27, 481 pelajar
lelaki dan 57, 981 pelajar perempuan. Pada tahun 2010, nisbah pelajar lelaki
kepada perempuan adalah sebanyak 33: 67 dengan kemasukan sebanyak 30, 822
pelajar lelaki daripada keseluruhan 94, 462. (Indikator Pengajian Tinggi
2009-2010)
Manakala bagi pelajar lelaki, mereka lebih cenderung
untuk memilih bidang sains tulen dan teknikal. Statistik yang dikeluarkan oleh
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan KPT menunjuk jumlah pelajar lelaki yang
seimbang dengan pelajar perempuan, malah di IPTS dan politeknik mereka lebih
dominan kerana secocok dengan kecenderungan mereka sebagai lelaki. Di IPTA,
jumlah pelajar lelaki dan perempuan hampir seimbang dengan nisbah 47: 53 pada
2009 dan 2010. Manakala di IPTS, lelaki melebihi majoriti dengan kemasukan pada
2009 seramai 38, 231 berbanding 36, 014 atau dengan nisbah 51:49. Pada 2010
pula, nisbah meningkat sedikit kepada 52: 48. Di politeknik juga menunjukkan
pelajar lelaki lebih dominan iait dengan nisbah kepada perempuan sebanyak 58:42
(2009) dan 56:44 (2010).
Justeru itu, boleh kita simpulkan bahawa pengajaran dan
pembelajaran untuk pelajar lelaki dan perempuan adalah berbeza mengikut
kekuatan fitrah masing-masing. Lelaki lebih berjaya dalam bidang sains dan
teknikal kerana itulah kekuatan mereka. Begitu juga perempuan yang cocok dengan
bidang sains sosial. Keseimbangan pelajar lelaki di IPT boleh dikurangkan
apabila pendidik mengenal pasti teknik pnp yang terbaik untuk pembangunan
kedua-duanya.
Jika UKM dan UPM didominasi oleh golongan perempuan,
begitulah juga UPNM, UTeM dan UTHM yang mesra lelaki kerana jurusan yang
ditawarkan adalah menepati selera dan minat pelajar lelaki. Penaiktarafan politeknik
dan vokasional sebagai IPT juga membantu golongan lelaki supaya keciciran dalam
pelajaran peringkat tertiari dapat dikurangkan.
MEMBANTU KANAK-KANAK LELAKI DAN MENDIDIK
KANAK-KANAK PEREMPUAN (HELPING BOYS, NURTURING GIRLS)
Bagi Kolej UNITI khususnya di bawah Fakulti Pendidikan
dan Pembangunan Sumber Manusia memandang serius isu keciciran lelaki di IPT.
Fakulti di bawah pimpinan Dekannya, Ahmad Shafiai Uda @ Pak Utih telah
menggagaskan satu usaha yang diharapkan dapat membantu pengembalian pendidikan
yang sesuai mengikut fitrah lelaki dan
perempuan yang sememangnya berbeza.
Perbezaan cara pendidikan kanak-kanak lelaki dan
perempuan telah Allah Ta’ala firmankan didalam KitabNya yang bermaksud, “maka
tatkala isteri ‘Imran melahirkan anaknya, dia pun berkata, “ya Tuhanku,
sesungguhnya aku melahirkan seorang anak perempuan; dan Allah lebih mengetahui
apa yang dilahirkannya itu; dan anak lelaki tidaklah seperti anak
perempuan…” (Surah Al-‘Imran: ayat 36).
Tambahan lagi, Allah berfirman maksudnya, “kaum
lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah
melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan
kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab
itu, maka wanita yang soleh ialah yang taat kepada Allah lagi
memelihara diri ketika suaminya tidak ada, kerana Allah telah
memelihara mereka. (Surah An-Nisa’: ayat 34).
Sebagai kesimpulan, usaha membantu pelajar lelaki dan
mendidik pelajar perempuan akan dimulai dengan memberi penekanan sedari
pendidikan pra-sekolah dengan jenamanya “Helping Boys, Nurturing Girls”. Ini
supaya kanak-kanak lelaki dapat dibangunkan keperkasaannya sebagai pemimpin dan
kanak-kanak perempuan dapat dididik sebagai pemelihara dan taat yang sangat
penting kepada kesejahteraan sosial dalam masyarakat dan seterusnya Negara. Kepercayaan
kepada perbezaan fitrah ini mempunyai sangkut paut dengan sistem dan silibus
pendidikan yang dirangka supaya ia berjaya mencapai misi dan visinya.Semoga
usaha kearah pengembalian sosial kepada fitrah dan sunnatullah akan diberkati.
Wallahu’alam.
Oleh:
Cik Faridah Mohd Tap
Fakulti Bahasa dan Pengajian Umum
Kolej UNITI, Port Dickson.
Monday, May 14, 2012
GURU SEBAGAI AGEN TRANSFORMASI MASYARAKAT DAN NEGARA
Tanggal 16 Mei setiap tahun diangkat sebagai hari penghargaan
kepada Guru di Malaysia. Tarikh ini dipilih rentetan dari pengiktirafan dan
penerimaan Laporan Razak pada 16 Mei 1956 sebagai Dasar Pelajaran Kebangsaan
oleh Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu.
Tema yang dipilih pada tahun 2012 ini adalah ‘Guru Berinovatif Pelonjak Transformasi
Pendidikan Negara’ adalah merupakan kesinambungan daripada tema-tema Hari
Guru sebelum ini. Selaras dengan agenda transformasi negara, guru diiktiraf
sebagai watak utama dalam menjayakan transformasi pendidikan negara ke satu arah
yang lebih berwibawa dan efisyen.
Pendidik sering menjadi cerminan kepada jatuh
bangun sesebuah generasi akan datang dan kerana itu pendidik selau dipandang
tinggi oleh masyarakat. Justeru itu, masyarakat menaruh harapan yang besar
supaya para pelajar dididik mengikut kesesuaian zaman dan jantinanya. Ini
penting supaya tidak berlaku ‘gender bias’
di dalam pendidikan hingga meyebabkan ketidakseimbangan pencapaian akademik
antara pelajar lelaki dan perempuan semakin membarah.
Pendidik perlu sentiasa terkehadapan dalam
semua aspek intelek, ilmu, emosi positif, adab dan sahsiah diri. Kita tidak
mahu golongan pendidik ‘tangkap muat’ yang natijahnya melahirkan generasi pewaris yang lesu dan kaku
jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).
Guru sebagai tulang belakang dalam bidang
pendidikan perlu memperkasakan Falsafah Pendidikan Negara dengan membangunkan
kesemua aspek JERI dalam diri pelajar. Dengan rencam dunia hari ini, guru perlu
lebih berinovatif dalam menyampaikan ilmu dengan lebih efisyen supaya para pelajar yang dididik bukan sahaja
cemerlang akademik, tetapi turut kaya dengan adab selain mandiri.
Menurut Ahmad dan Eka Setyaningsih (2012) dalam
jurnal Sosiahumanika Volum 5 (1) berjudul “Teacher
Professionalisme: A Study Teachers Professional and Pedagogic Competence at
Junior, Senior and Vocational High Schools in Banyumas Regency, Central Java,
Indonesia” menyatakan empat (4) asas
pendidikan yang perlu ada dalam diri semua tenaga akademik terutama guru
sepertimana digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangasa Bersatu dalam Pendidikan,
Sainstifik dan Organisasi Kebudayaan (UNESCO).
Asas pertama ialah belajar untuk mengetahui iaitu pendidik perlu mengetahui dan
menguasai ilmu dan maklumat serta tahu bagaimana mahu menyampaikannya kepada
pelajar. Kedua ialah belajar untuk melakukan iaitu setiap
pendidik perlu membina pelajar untuk menjadi kreatif dan produktif dalam
mendepani apa jua situasi mendatang. Seterusnya, belajar untuk menjadi iaitu pendidik perlu mencungkil kemandirian
dan kebijaksanaan para pelajar supaya mereka menjadi manusia yang baik. Asas
terakhir ialah belajar untuk tinggal
bersama iaitu pelajar dididik untuk sentiasa menghargai satu sama lain dan
tinggal bersama dalam satu masyarakat dengan harmoni dan saling bekerjasama.
Ringkasnya, boleh disimpulkan bahawa pendidik
memainkan peranan yang utama sebagai agen pelonjak transformasi masyarakat dan
negara. Justeru itu, tema hari guru iaitu ’Guru
Berinovatif Pelonjak Transformasi Pendidikan Negara’ tahun ini perlu
dihadami dengan tuntas oleh semua golongan pendidik. Akhirnya, diucapkan
Selamat Hari Guru kepada semua insan yang bergelar pendidik samaada di
peringkat rendah, menengah mahupun institusi pendidikan tinggi awam dan swasta.
Teruskan mendidik tanpa jemu kerana anda adalah pencipta modal insan yang
berkualiti di masa hadapan.
Oleh,
FARIDAH
BINTI MOHD TAP
Pensyarah Pengajian Malaysia,
Fakulti Bahasa dan Pengajian Umum,
Kolej UNITI, Negeri Sembilan.
Bangkitlah Remaja Islam
Labels
- Advokasi Massa
- Agama
- Aktivisme
- Beli buku
- borak-borak
- cakna semasa
- Cinta
- dakwah
- Dilema
- Fikir
- Gadis
- gender
- Gerakan Islam
- Gerakan Pelajar Islam
- Hati
- Hati-hati
- Hijab
- Hormat
- Impian
- Inspirasi
- Jenayah
- Keluarga
- Kembara Pendidik
- Kepimpinan
- Kewangan
- Komunikasi
- Misteri
- Muhasabah
- Muslimah
- Nilai Diri
- Pemikiran
- pendidikan
- Penulisan Media Massa
- Perjuangan
- Perkahwinan
- Personaliti
- politik
- remaja
- Reviu Filem
- Sajak
- Sentap
- Siri Bahagia Menjadi Gadis Perawan- Diriku Permata Berharga (Dermaga)
- tarbiyyah
- Terkenang
- Teruna
- Tokoh Wanita Islam
Search This Blog
Powered by Blogger.
BUATMU REMAJA
"Kita mulia kerana Islam, bangkitlah dari perasaan putus asa"
Salam Mahabbah!!!
kepada semua sahabat, semoga sisipan dalam blog ini akan membawa sedikit makna dan ilmu buat semua.
Mimosa????
- Faridah Mohd Tap
- Kluang, Johor, Malaysia
- Faridah Mohd Tap ialah seorang anak peneroka FELDA Ulu Belitong, Kluang Johor. Mendapatkan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Arab Bandar Tenggara. Mendapat lulusan ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Politik dan Komunikasi dari UIAM 2010. Giat sebagai penulis bebas dan artikel beliau pernah terbit di pelbagai akhbar seperti Berita Harian, Kosmo, Sinar Harian dan The Malaysian Insider. Juga bekas kolumnis di Majalah I, Karangkraf untuk ruangan Remaja dan Suami Isteri. Antara lain, Majalah Dewan Masyarakat DBP, Majalah Dara.com, Milenia Muslim dll. Dalam pendidikan, pernah bergelar tutor sambilan di UPM Holdings dan Kolej Dar-al-Hikmah. Kini Pensyarah di Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, FPPM Kolej UNITI Port Dickson, NSDK. Berpengalaman dalam Aktivism Mahasiswa menerusi Kesatuan Pelajar Islam Johor, Persatuan Kebangsaaan Pelajar Islam Malaysia dan ABIM. Beliau ialah penulis buku "BANGKITLAH REMAJA ISLAM" terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Boleh dihubungi di talian: 013-611 5468







