Monday, May 14, 2012

GURU SEBAGAI AGEN TRANSFORMASI MASYARAKAT DAN NEGARA




Tanggal 16 Mei  setiap tahun diangkat sebagai hari penghargaan kepada Guru di Malaysia. Tarikh ini dipilih rentetan dari pengiktirafan dan penerimaan Laporan Razak pada 16 Mei 1956 sebagai Dasar Pelajaran Kebangsaan oleh Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu.
Tema yang dipilih pada tahun 2012 ini adalah ‘Guru Berinovatif Pelonjak Transformasi Pendidikan Negara’ adalah merupakan kesinambungan daripada tema-tema Hari Guru sebelum ini. Selaras dengan agenda transformasi negara, guru diiktiraf sebagai watak utama dalam menjayakan transformasi pendidikan negara ke satu arah yang lebih berwibawa dan efisyen.
Pendidik sering menjadi cerminan kepada jatuh bangun sesebuah generasi akan datang dan kerana itu pendidik selau dipandang tinggi oleh masyarakat. Justeru itu, masyarakat menaruh harapan yang besar supaya para pelajar dididik mengikut kesesuaian zaman dan jantinanya. Ini penting supaya tidak berlaku ‘gender bias’ di dalam pendidikan hingga meyebabkan ketidakseimbangan pencapaian akademik antara pelajar lelaki dan perempuan semakin membarah.
Pendidik perlu sentiasa terkehadapan dalam semua aspek intelek, ilmu, emosi positif, adab dan sahsiah diri. Kita tidak mahu golongan pendidik ‘tangkap muat’ yang natijahnya  melahirkan generasi pewaris yang lesu dan kaku jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). 
Guru sebagai tulang belakang dalam bidang pendidikan perlu memperkasakan Falsafah Pendidikan Negara dengan membangunkan kesemua aspek JERI dalam diri pelajar. Dengan rencam dunia hari ini, guru perlu lebih berinovatif dalam menyampaikan ilmu dengan lebih efisyen supaya  para pelajar yang dididik bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi turut kaya dengan adab selain mandiri.
Menurut Ahmad dan Eka Setyaningsih (2012) dalam jurnal Sosiahumanika Volum 5 (1) berjudul “Teacher Professionalisme: A Study Teachers Professional and Pedagogic Competence at Junior, Senior and Vocational High Schools in Banyumas Regency, Central Java, Indonesia”  menyatakan empat (4) asas pendidikan yang perlu ada dalam diri semua tenaga akademik terutama guru sepertimana digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangasa Bersatu dalam Pendidikan, Sainstifik dan Organisasi Kebudayaan (UNESCO).
Asas pertama ialah belajar untuk mengetahui iaitu pendidik perlu mengetahui dan menguasai ilmu dan maklumat serta tahu bagaimana mahu menyampaikannya kepada pelajar.  Kedua ialah belajar untuk melakukan iaitu setiap pendidik perlu membina pelajar untuk menjadi kreatif dan produktif dalam mendepani apa jua situasi mendatang. Seterusnya, belajar untuk menjadi iaitu pendidik perlu mencungkil kemandirian dan kebijaksanaan para pelajar supaya mereka menjadi manusia yang baik. Asas terakhir ialah belajar untuk tinggal bersama iaitu pelajar dididik untuk sentiasa menghargai satu sama lain dan tinggal bersama dalam satu masyarakat dengan harmoni dan saling bekerjasama.
Ringkasnya, boleh disimpulkan bahawa pendidik memainkan peranan yang utama sebagai agen pelonjak transformasi masyarakat dan negara. Justeru itu, tema hari guru iaitu ’Guru Berinovatif Pelonjak Transformasi Pendidikan Negara’ tahun ini perlu dihadami dengan tuntas oleh semua golongan pendidik. Akhirnya, diucapkan Selamat Hari Guru kepada semua insan yang bergelar pendidik samaada di peringkat rendah, menengah mahupun institusi pendidikan tinggi awam dan swasta. Teruskan mendidik tanpa jemu kerana anda adalah pencipta modal insan yang berkualiti di masa hadapan.

Oleh,

FARIDAH BINTI MOHD TAP
Pensyarah Pengajian Malaysia,
Fakulti Bahasa dan Pengajian Umum,
Kolej UNITI, Negeri Sembilan.

1 comments:

Jurnal Murahan said...

ini bagus , saye suke


Jeri saye semakin tuntas hehe



.