Friday, November 11, 2011

SEKSUALITI MERDEKA: KEBEBASAN ASASI ATAU KEBEBASAN HAWA NAFSU?




-->
Oleh: Sdri. Faridah binti Mohd Tap
Pensyarah Pengajian Malaysia,
Kolej UNITI Sdn. Bhd.
Port Dickson, Negeri Sembilan.
(Juga mantan Exco Tugas-tugas Khas Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ-PKPIM-ABIM) 2008-2010)
Masih lagi kedengaran cakap-cakap, kecaman dan siasatan terhadap sebuah gerakan bertemakan “ Queer Without Fear” iaitu Seksualiti Merdeka. Seksualiti Merdeka merupakan sebuah acara tahunan mengenai hak seksualiti yang bekerjasama dengan segabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia diantaranya ialah Malaysian Bar Council, SUARAM, Empower, PT, SIS, Amnesty International dan juga disokong oleh individu perseorangan.
Seksualiti Merdeka (SM) sudah mula bertapak secara senyap di Malaysia seawal tahun 2008. Namun, oleh kerana keadaan politik yang tidak stabil di Malaysia, maka grup ini mula menyuarakan kebebasan atas nama perjuangan hak asasi secara terbuka dengan penganjuran pelbagai aktiviti seperti ceramah, pementasan teater, penggunaan media baru, penulisan artikel dan sebagainya. SM telah mendapat kecaman daripada masyarakat awam yang membawa kepada pengharamannya oleh pihak polis.
Jika dahulu, berbicara tentang seksualiti seakan canggung dan ‘taboo’ di Negara yang bercirikan ketimuran; yang berpegang kuat kepada nilai agama dan budaya. Apatah lagi, Artikel 3 dalam Perlembagaan Malaysia menyatakan Islam sebagai Agama Pesekutuan. Tetapi, arus sekularisme atau khususnya ideologi humanis sekular begitu gigih untuk menembusi masyarakat tempatan dengan jenama yang lebih menarik perhatian iaitu kebebasan hak asasi.
FAHAM KEBEBASAN
Kebebasan insan dalam perspektif barat mendasar kepada teori ‘Natural Law’ pada kurun ke-17 di mana, mereka percaya manusia mempunyai hak penuh terhadap diri sendiri. Ini jelas dimanifestasikan oleh Seksualti Merdeka, “….kami percaya bahawa kita semua berhak untuk bertanggungjawab terhadap tubuh kita sendiri.” (Seksualiti Merdeka.org). Malah perjuangan menuntut kebebasan penuh (total) berlaku kerana sejarah panjang yang haru-biru masyarakat barat itu sendiri sehinggakan mereka menolak sebarang keterikatan dengan agama iaitu sekularisme.
Deklarasi Hak Asasi Antarabangsa 1948 telah menyatakan penolakan secara total terhadap Tuhan dan elemen keagamaan. Tambahan lagi, Deklarasi itu juga memberi jaminan kebebasan mutlak kepada manusia. Deklarasi ini menjadi ‘kitab suci’ kepada semua pendokong perjuangan hak asasi manusia acuan barat di Malaysia khususnya dan dunia umumnya..
Walaupun begitu, Islam sebagai agama yang bersifat universal tidak menyekat kebebasan asasi manusia. Cuma berbeza dengan barat, kebebasan yang diberikan kepada penganutnya tidak mutlak dan beserta tanggungjawab. Kebebasan itu masih lagi bertunjangkan Al-Qur’an dan As-Sunnah.
Menurut Prof. Wan Azhar Wan Ahmad, Felo Kanan/ Pengarah di Institut Kefahaman Islam Malasyia (IKIM) dalam sebuah artikelnya bertajuk Sexuality, Religion, Ethics and Law, menyatakan kebebasan dalam Islam merujuk dengan konsep Ikhtiyar. Ikhtiyar berasal dari perkataan khayr yang membawa makna baik, betul, benar dan bermanfaat. Justeru kebebasan manusia harus membawa dirinya kepada kebaikan.Namun jika sebaliknya, ia bukanlah dikatakan kebebasan tetapi kezaliman, ketidakadilan kerana membawa diri ke lembah kerosakan dan kemudaratan.
Manakala, menurut pandangan Prof. Syed Muhammad al-Attas, kebebasan diri insan dalam Islam bererti ‘keadaan pemulihan serta penyaksian diri akan hakikat semulajadinya.’ Tambahnya lagi, ‘bebas’ itu bermakna gerak daya yang menyerahkan diri ruhani dengan cara jasmani nescaya tunduk ta’luk kepada diri ruhani dengan cara mematuhi undang-undang serta hokum akhlakiah yang ditetapkan oleh agama- dan bukan sebaliknya. (Risalah untuk Kaum Muslimin, 2001: 82).
Dengan bahasa yang lebih mudah, kemerdekaan insan itu bukan bermakna melepaskan diri dari ikatan agama tetapi patuh kepada segala ketetapan yang disyariatkan oleh agama khususnya Islam. Umat Islam dituntut untuk tidak terpedaya dalam apa jua corak helah berbentuk ideologi, budaya atau apapun yang cuba melonggarkan seterusnya meleraikan ikatan kepada agama. Kita perlu sedar sama sekali, tiada sebarang agama pun di dunia ini yang membenarkan hubungan sejenis (homoseks). Walaupun ada beberapa gereja di Negara Eropah yang tunduk pada desakan kaum homoseks ini sehingga membenarkan pasangan gay dan lesbian berkahwin, ternyata ia telah terpesong dari landasan ajaran agamanya.
ORIENTASI SEKSUAL DAN HAWA NAFSU TERLAMPAU.
‘Kami percaya bahawa setiap orang di Malaysia berhak untuk bebas dari diskriminasi, keganasan ataupun gangguan hanya kerana orientasi seksual dan identiti jantina mereka….Kami percaya setiap orang berhak untuk menyayangi dan disayangi, sama ada dia gay, lesbian, biseksual, transgender, heteroseksual, aseksual, panseksual dan sebagainya.” (Seksualiti Merdeka.org)
Ya semua orang berhak untuk disayangi. Disebabkan kasih dan sayanglah, maka agama Islam khususnya melarang umatnya dari merosakkan diri dengan melampaui batas fitrah kemanusiaan normal. Ada yang mengatakan, orietasi seksual luar kebiasaan normal merupakan naluri yang datang sendiri. Tetapi ia sama sekali tertolak. Ia bukan naluri fitrah insaniyyah, tetapi ia adalah hawa nafsu yang memujuk rayu diri untuk keluar dari batasan agama, nilai, norma dan budaya manusia bertuhan.
Allah Ta’ala telah mengingatkan manusia berulang kali di dalam kitabNya supaya tidak terpedaya dengan tuntutan nafsu yang tiada kenal erti puas. Hawa nafsu yang dituruti adalah salah satu penyebab kepada kebinasaan, kesesatan dan kehancuran.
Dalam surah al-Kahf, ayat 28, Allah telah berfirman, “ …Dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengngati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaanya melampaui batas.”.
Firman Allah Ta’ala lagi dalam mengingatkan bahaya dan akibat menuruti kehendak hawa nafsu yang bermaksud,
“ Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberikan petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?” (Surah al-Jathiyah: 23)
Tidakkah kita semua mengambil iktibar dari kisah benar Nabi Luth A.S dan kaum homoseksnya yang menyebabkan bumi ini diterbalikkan lantaran sikap melampaui batas kaum Nabi Luth? Allah berfirman, mafhumnya “Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?” Wallahu’alam.


eeeeeeeeeeeeeeeee.....uweekkk....

U

2 comments:

Jurnal Murahan said...

eeee.. uweeekk


last sekali punya ayat tu yg nak tegelak tu hehehe

Faridah Mohd Tap said...

Memang nak termuntah....geli-geleman. kui3x