Tuesday, November 1, 2011

BILA SOLAT DAN AL-QUR’AN SEMAKIN DITINGGALKAN…




Oleh: Sdri Faridah binti Mohd Tap
Pensyarah Pengajian Umum
Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan.
(Penulis juga mantan Exco Tugas-tugas Khas Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ-PKPIM-ABIM) bagi sesi 2007-2010)
***
Baru-baru ini penulis terlibat sebagai salah seorang panel untuk sesi saringan pengetahuan dan praktikal solat dan bacaan Al-Qur’an untuk pelajar semester pertama di sebuah Kolej dimana penulis sedang berkhidmat sekarang ini. Hampir 250 orang jumlah pelajar yang hadir untuk sesi saringan tersebut yang dijalankan selama empat malam dengan sembilan orang panel yang terlibat untuk menguji. Lingkungan umur pelajar adalah sekitar 19 hingga 21 tahun bagi jurusan diploma.
Sepanjang sesi saringan berlangsung, hanya segelintir pelajar telah mencapai tahap yang dikehendaki penulis dan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP)- Unit Kerohanian iaitu Muhsin (sempurna bacaan solat dan Al-Qur’annya) seramai 30 orang. Malah penulis terkedu dan terkejut dengan fenomena ‘buta’ solat dan ‘buta’ Al-Qur’an di kalangan generasi muda bergelar pelajar IPT dewasa ini.
Walaupun tiada ujian empirikal dibuat untuk mengkaji fenomena ini di negara kita, tetapi boleh disimpulkan rata-rata pelajar gagal menunaikan tanggungjawab sebagai Muslim/ah dengan sepenuhnya cukup memberikan gambaran bagi lainnya di luar sana. Majoriti pelajar dikategorikan sebagai Muslim (sederhana) dalam pengamalan solat dan Al-Qur’an. Sederhana disini bermaksud para pelajar hanya mengetahui asas-asas solat dan bacaan Al-Qur’an tetapi dilakukan secara berkala dan ‘kadang-kadang’.
Malah ada sebahagian pelajar tanpa segan silu menyatakan mereka sudah lama tidak menunaikan solat fardhu dan membaca Al-Qur’an sehingga bertahun-tahun lamanya. Alasan yang diberikan ketika ditanya penulis mengenai sebab mereka meninggalkan solat adalah seperti penat, leka, membuat tugasan pensyarah dan tiada ‘mood’.
Semasa sesi saringan berlangsung, bacaan solat yang dibaca pelajar tunggang-langgang. Kalau dibaca sekalipun dalam solat, bacaan tersebut tidak dihabiskan bacaannya kerana tidak hafal seperti bacaan doa iftitah, bacaan tasyahud awal dan akhir serta doa qunut. Subuh, asar dan Isya’ adalah tiga waktu solat yang selalu ditinggalkan oleh kebanyakkan pelajar yang hadir pada sesi saringan tersebut dengan pelbagai alasan yang bukan dalam kategori uzur syar’ie yang dibolehkan agama. Begitu juga untuk bacaan Al-Qur’an yang tidak lagi dibaca sehinggakan ada dikalangan para pelajar tidak mengenal huruf walaupun sudah khatam Al-Qur’an semasa kecil.
Fenomena buta solat dan buta Al-Qur’an semakin meruncing di kalangan generasi muda dasawarsa ini. Walaupun membaca Al-Qur’an itu sunat, tetapi ia sangat penting untuk membolehkan seseorang membaca bacaan dengan baik dalam solat yang merupakan tiang seri agama Islam dan amal pertama hisaban di akhirat kelak. Sebab itu celik solat dan Al-Qur’an sentiasa selamanya berjalan seiringan, sehala, seia dan sekata.
Jika negara kita mensasarkan sifar buta huruf menjelang tahun 2015 sebagai menyokong Agenda Pendidikan Untuk Semua (EFA) , bagaimana pula dengan sifar buta solat dan buta Al-Qur’an di negara yang menjunjung Artikel 3 (1) dalam Perlembagaan Malaysia iaitu Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia?
Ketika artikel ini ditulis, Himpunan Sejuta Umat: Menyelamat ‘Aqidah (HIMPUN) baru sahaja berlangsung di Stadium Shah Alam beberapa hari lepas. Dalam Islam, aqidah perlu disempurnakan dahulu sebelum melaksanakan rukun dan aspek Islam yang lain. Malah, jika kita lihat kepada turutan Rukun Islam, yang pertama adalah mengucap syahadah (aqidah) dan kedua hingga kelima iaitu mendirikan solat, berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji (bagi yang berkemampuan) lebih menjurus kepada aspek ibadah.
Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim mafhumnya, “Dari Abu ‘Abdal Rahman ‘Abdullah Ibn ‘Umar radiyallahu ‘anhuma katanya: Aku dengar Rasulullah S.A.W bersabda: Didirikan Islam atas lima (rukun): Syahadah (pengakuan) bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, dan mendirikan sembahyang, dan mengeluarkan zakat, dan mengerjakan haji di Baitullah, dan puasa di bulan Ramadhan.” (Mustafa ‘Abdul Rahman (2008), Hadith 40:Terjemahan dan Syarahnya, halaman 119).
Justeru, fenomena buta solat dan Al-Qur’an dewasa ini boleh dijadikan hujah kepada permasalahan ‘aqidah dikalangan masyarakat Islam sendiri. Kita meyakini, kelalaian dalam menunaikan kewajipan agama terutama solat adalah bertitik-tolak daripada aqidah dan keimanan yang melemah akibat tuntutan hawa nafsu yang tiada kenal erti puas.
Dapatan sesi saringan yang lalu memberitahu penulis bahawa amalan yang paling berat dilaksanakan generasi masa kini ialah solat dan membaca serta mentadabbur Al-Qur’an. Maka, bila ditanya apakah amalan dunia yang paling mulia?, jawab Al-Fadhil Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqh Keutamaan sebagaimana memetik pendapat daripada Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah yang bersandarkan kepada sebuah hadith yang tidak diketahui sanadnya, bermaksud:“Amalan yang paling baik ialah yang paling susah dan berat.” Ya, menjaga solatdan tadabbur Al-Qur’an itulah yang amalan yang terutama masing-masing pada amal perbuatan dan amal lisan di sisi Tuhan, Allah ‘Azza Wa Jalla.
Apatah lagi, amanat terakhir kepada umat tinggalannya sebelum menjelang kewafatan Baginda Saidina Rasulullah adalah tentang memelihara solat. Rasulullah S.A.W berasa sungguh khuatir umatnya tidak lagi memiliki rasa dan jiwa pada ibadah solat. Juga, firman Allah S.W.T dalam surah Al-Furqan, ayat 30 mafhumnya, “Berkatalah Rasul: Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah meninggalkan Al-Qur’an ini.
Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama merenung, mengkaji dimana silapnya sehingga lahirnya generasi Islam yang buta hati pada keagungan solat dan meninggalkan Al-Qur’an dewasa ini. Tidak hairanlah kenapa aqidah senang sekali dicarik sehingga gejala murtad berleluasa, maksiat senang sekali dikerjakan sehingga fenomena zina, buang anak, dadah dan pelbagai penyakit sosial dijuarai oleh golongan manusia beragama Islam. Ini secara batiniyyahnya terjadi lantaran solat tidak menjadi perisai yang menjadi benteng ampuh mengekang hawa nafsu dan meninggalkan pegangan paling utuh iaitu Al-Quran dengan berbangga dengan rasional intelek semata.
Dicadangkan agar kempen-kempen tahsin solat dan semangat Iqra’ dihidup suburkan, diakar umbikan dalam semua institusi sosial terutama institusi keluarga, institusi pendidikan, institusi keagamaan, institusi pemerintahan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan media massa. Apalah makna Artikel 3-Islam sebagai agama Persekutuan jika masyarakat Islamnya jahil mengenai tunjang utama agamanya. Walau wujud pelbagai akta untuk mengekang penularan murtad dan menjaga kesucian agama Islam, ia sebenarnya belum cukup menjamin seseorang itu benar keIslamnya. Yang ditakuti Islam hanya pada nama, tetapi tidak pada hati, percakapan dan perlakuan. Semoga Allah memberikan kita semua taufiq dan hidayat serta ditetapkan hati hanya kepadaNya dan Islam sebagaimana yang dikatakan ‘Inna Ad- dinu ‘Indallahi al- Islam (Sesungguhnya agama di sisi Allah hanyalah Islam.” Wallahu’alam.


3 comments:

Jurnal Murahan said...
This comment has been removed by the author.
Jurnal Murahan said...

" Ini secara batiniyyahnya terjadi lantaran solat tidak menjadi perisai yang menjadi benteng ampuh mengekang hawa nafsu dan meninggalkan pegangan paling utuh iaitu Al-Quran dengan berbangga dengan rasional intelek semata. " <- confuse dekat sini


tapi penulisan ilmiah yg baik. :-D

Faridah Mohd Tap said...

Maksudnya, kumpulan manusia yang mengagungkan peranan akal/ rasional sehingga membelakangkan Al-Quran seperti Ahli Falsafah