Wednesday, October 12, 2011

KEMBARA SEORANG PENDIDIK (Bhgn 1)



Sebagai pendidik, sudah tentu kita mahukan yang terbaik untuk pelajar-pelajar kita. Bukan sahaja terbaik dalam bidang akademik, tetapi turut juga cemerlang akhlak diri.

Mengajar kanak-kanak menuntut kesabaran yang diselangi keseronokan. Mengajar remaja yang baru menginjak ke alam dewasa pula menuntut kesabaran tidak berbelah bahagi yang diselangi duka dan air mata. Namun itulah tugas dan cabaran sebagai insan bergelar pendidik.

Setiap cabaran perlu ditempuh dengan semangat dan ketabahan. Remaja hari ini penuh dengan karenah yang perlu dihadapi dengan hikmah. Ibarat batu dan air. Batu yang keras sekalipun boleh berubah bentuk dengan titisan-titisan air yang menitis tenang ke atas permukaan batu.

Begitulah remaja. Sekeras manapun hati mereka, setinggi manapun ego diri, akhirnya tetap tunduk dengan pendekatan yang penuh hikmah. Seperti yang berlaku kepada Saidina Umar Al-Khattab sebelum keIslamannya. Walaupun terkenal dengan ketegasan, kebengisan, serta kebenciannya kepada Islam, namun akhirnya tertunduk jua kepada keteguhan dan keberanian adiknya, Fatimah demi menyatakan kebenaran dengan hikmah kalamullah.

REMAJA BELIA DAN PERBUATAN DEVIAN
Remaja dan belia selalu disinonimkan dengan pelbagai gejala yang tidak sihat seperti penagihan dadah, rempit, melepak, seks bebas, minum arak, merompak hatta bunuh sekalipun. Sebut sahaja tentang golongan remaja belia, berbaris perbuatan devian untuk dituliskan. Kenyataan, “Remaja penyumbang kepada penyakit sosial,” dan sebagainya sering meniti butir bicara hari-harian.

Namun, pernahkan kita bertanyakan kenapa berlaku sedemikian parah generasi remaja belia kita hari ini?
Pelbagai pendapat dan hujah dibentang bagi mengoreksi permasalahan generasi remaja belia hari ini. Kelemahan sistem pendidikan dan sistem pemerintahan, kurang didikan agama, kealpaan ibu bapa dengan kerjaya, institusi kekeluargaan yang semakin melemah, pengaruh rakan sebaya,ketidak pedulian masyarakat, pengaruh media massa, lambakan bahan-bahan pornografi di laman web dan pasaran secara terbuka, pemasaran budaya hedonisme dan banyak lagi dikatakan punca-punca kepada keruntuhan adab dan akhlak remaja.

Semua pihak saling tuding-menuding, salah-menyalahkan. Tapi natijahnya, penambahbaikan tetap sepi untuk dilaksanakan. Generasi muda terus-terusan hanyut dengan budaya hedonism yang merosakkan. Ya, sekarang ini bukan masanya bertelingkah siapa yang salah.

Justeru, teringat penulis kepada bicara seorang aktivis dalam gerakan Pelajar Islam yang penulis terlibat secara aktif semasa belajardi universiti beberapa tahun yang lalu. Katanya, DO YOUR PART!

Ya, saya setuju dengan kata-katanya. Ringkas tapi mempunyai takrif yang mendalam. Semua dari kita perlu memainkan peranan masing-masing ke tahap yang paling optimum supaya ketakutan kepada kehancuran generasi muda berilmu dan beradab dapat dihapuskan.

Kita perlu ada keyakinan supaya sosok keperwiraan generasi muda silam seperti Salahudin Al-Ayyubi dan Muhamad Al-Fateh mampu dikembalikan pada hari ini. Amin Ya Rabb.

1 comments:

Jurnal Murahan said...

saya ada vocab baru sekarang ni haaaa :

mengoreksi
devian

hmm ape lagi ntah, tak ingat kui3