Monday, October 26, 2009

JENAYAH ROGOL DAN KESEDARAN DIRI WANITA.

Rogol. Satu perkataan yang amat di geruni oleh setiap wanita. Ia merupakan satu jenayah seksual di mana dari sudut undang-undang ia merupakan satu perbuatan memasukkan alat sulit lelaki ke dalam alat sulit wanita tanpa kerelaan atau di atas paksaan. Selain itu, bagi remaja perempuan yang berumur bawah 16 tahun, hubungan seks atas dasar suka sama suka juga di kategorikan sebagai jenayah rogol dan boleh disabitkan dengan hukuman yang ditentukan oleh mahkamah.

Saban hari, ada sahaja kes-kes rogol dilaporkan di media massa. Dan setiap kali itu juga darah berderau dan perasaan simpati menyelinap mengenangkan diri mangsa dan keluarganya. Mengikut laporan terdapat 1,060 kes rogol di seluruh negara yang dilaporkan sepanjang Januari hingga April 2008. Namun begitu, angka tersebut tidak termasuk dengan kes-kes rogol yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa. Jenayah rogol ini seolah-olah menjadi trend masyarakat maju di mana setelah lebih dari separuh abad Malaysia mencapai kemerdekaan, statistik jenayah rogol sentiasa mencatatkan peningkatan walau dari segi undang-undang, hukuman bagi kesalahan ini amat berat.

Malah mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merujuk tahun 1998 hingga 2000, Malaysia merupakan negara nombor dua di Asia yang paling tinggi mencatat kes jenayah rogol termasuk mangsa mengenali suspek. Adalah penting untuk dinyatakan juga disini, bahawa di Amerika , misalnya, Amnesty International menyatakan dalam satu laporan 2004 yang bertajuk “Hentikan Keganasan Terhadap Wanita” di mana setiap 90 saat seorang wanita dirogol sepanjang tahun itu. Kita takut trend ini akan menular ke Malaysia jika tidak di bendung secara serius oleh semua pihak.

Kekejaman jenayah rogol ke atas wanita tidak lagi mengenal usia, hubungan persaudaraan dan cara berpakaian. Ini kerana, kebanyakkan kes yang di laporkan menunjukkan jenayah rogol ke atas kanak-kanak juga semakin meningkat. Tentu kita masih ingat lagi peristiwa yang menggemparkan Malaysia tentang kekejaman seksual yang penuh sadis terhadap Allahyarhamah adik Nurin Shazlin Jazimin, adik Siti Syazwani dan adik Nurul Huda Ghani beberapa tahun dahulu. Mereka merupakan contoh mangsa jenayah rogol yang di bunuh dengan begitu kejam sekali.

Menurut penganalisis jenayah tanah air, Kamal Affandi Hashim, jumlah keseluruhan mangsa rogol di bawah umur 15 tahun di kalangan kanak-kanak atau fidofilia (pelaku seks yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa) sepanjang Januari hingga April 2008 ialah 586 orang. Angka ini sudah tentu membuatkan para ibu dan bapa tidak tidur lena tentang keselamatan anak-anak perempuan mereka. Kes sumbang mahram juga begitu membimbangkan. Menurut Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia, Bukit Aman, sebanyak 161 kes sumbang mahram dilaporkan. bagi Januari hingga Jun 2008.

Kesan jenayah rogol bukan sahaja menyebabkan mangsa trauma sepanjang hidup, malah ahli keluarga mangsa juga tertekan. Paling menyayat hati, jika mangsa rogol menemui ajal akibat di bunuh oleh syaitan yang bertopengkan manusia. Trend rogol dan bunuh dengan cara membakar, menggantung, dan melemaskan mangsa ini juga kian meningkat saban tahun.

Menurut laporan dari tahun 1984 hingga Februari 2006 , terdapat 87 kes rogol –bunuh, dan dari jumlah 87 kes ini, hanya 23 kes, atau pun 26.4% di selesaikan dengan pesalah dijatuhi hukuman. Sekali lagi, fakta ini sudah tentu telah mencuri ketenteraman hidup para wanita. Angka-angka jenayah rogol yang tidak pernah menunjukkan penurunan bisa membuat semua wanita tidak kira kanak-kanak, remaja, ibu hatta nenek sekalipun merasa diri tidak tenteram dan rasa terancam tidak kira di rumah apatah lagi di luar rumah.

Disebabkan itu, kesedaran dari dalam diri wanita amat penting tentang penjagaan keselamatan diri mereka sendiri. Pendedahan tentang peri pentingnya menjaga keselamatan diri perlu di lakukan dengan segera dan konsisten dari semasa ke semasa. Semua pihak yang terdiri daripada ibu bapa, sekolah, badan-badan bukan kerajaan, parti-parti politik dan pihak kerajaan harus menunjukkan kesungguhan dalam membanteras gejala rogol yang kejam ini. Kanak-kanak dan remaja wanita harus di dedahkan tentang penjagaan keselamatan diri kerana mereka merupakan golongan sasaran perogol yang tidak berperikemanusiaan. Oleh yang demikian, ceramah dan bengkel-bengkel keselamatan diri perlu di anjurkan sebagai program wajib bagi setiap sekolah di seluruh Negara. Kerjasama dari pihak kerajaan dan badan-badan bukan Kerajaan amat di dambakan bagi menangani gejala kejam ini.

0 comments: