Thursday, October 22, 2009

Kuasa Lidah

Kata-kata ibarat pisau. Sekali terhunus, ia mampu mencederakan. Banyak kali menikam, bisa pula membunuh seseorang. Acap kali kita mendengar nasihat orang-orang tua, “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata-kata….jangan harap dapat boleh tarik balik.” Orang lama memang bijaksana, walaupun tidak mendapat pendidikan yang tinggi. Itulah hikmah orang yang berilmu. Setiap kata-kata membawa sejuta makna. Setiap bicara menjadi pedoman generasi akan datang.

Kata-kata juga mampu membuat hidup seseoarang itu ceria. Kata-kata yang baik ibarat hadiah yang tiada tolok bandingnya. Lafaz kata-kata penuh hikmah yang ikhlas terpacul dari bibir berupaya memberi motivasi kepada seseorang untuk terus dan terus berusaha dalam mengharungi kehidupan yang penuh onak duri.

Hebat sungguh kuasa sebuah kata-kata yang datang dari lidah! Darihal itu, berfikirlah sebelum berbicara. Kata-kata memberi kesan kepada anda dan orang-orang disekeliling anda. Pada zaman Rasulullah S.A.W. ada seorang tentera Islam gugur di medan perang sebagai syahid lalu ada yang berkata: “untung sekali orang ini kerana dia telah berjaya mendapat syurga”. Mendengar ucapan itu lalu Rasulullah S.A.W. bersabda: “belum tentu lagi, kerana boleh jadi ia pernah bercakap perkara-perkara tidak berfaedah atau ia bakhil dari memberi sesuatu yang sebenarnya tidak mengkayakannya.”[1] Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha menjaga lidah kita sebaik mungkin daripada berkata-kata yang lagho(sia-sia) dan perkara-perkara yang boleh menyinggung saudara manusia kita yang lain.. Segala yang baik itu datang dari Allah, dan yang buruk itu datang dari kedaifan diri sendiri. Wallahualam.

[1] Imam Ghazali (2005). Bidayatul Hidayah.(Khazanah Banjariah, Kedah)

0 comments: