Saturday, December 19, 2009



MISTERI SEBUAH KEHIDUPAN…
Banyak pengalaman manis dan pahit telah mendewasa dan mematangkan aku dalam meniti kehidupan ini. Yang manisnya dijadikan teman dan hiburan tatkala kesunyian dan bersendirian. Yang pahit disimpan kemas dalam lipatan rahsia diri.

Langkah maju setapak meninggalkan semalam yang menjadi kenangan. Diri cuba mencari ‘sesuatu’ yang tersembunyi pada hari ini. Hari ini tidak mungkin sama dengan semalam. Dan esok tidak mungkin sama dengan hari ini. Inilah keindahan sebuah kehidupan. Penuh dengan misteri disamping watak-watak manusia yang juga misteri.

Bukan mudah untuk merungkai sebuah ‘misteri’ kehidupan. Kita perlu melaluinya dan merasainya sendiri dengan bantuan ‘aqal, hati nurani dan pancaindera kurniaan yang Maha Esa.

Pelbagai perasaan bercampur baur; teruja, gembira, takut, sedih dan takjub dalam usaha memahami makna sebuah kehidupan yang penuh misteri dan rahsia. Kekadang diri kita sendiri menjadi misteri pada pandangan insan lainnya, dan insan lain itu menjadi misteri kepada yang lainnya dan begitulah rantaian seterusnya. Ringkasnya, misteri itu wujud di mana-mana, dalam diri manusia, alam, flora dan fauna.

Kejadian-kejadian Allah yang Maha Agung seperti alam, tumbuh-tumbuhan, mergastua juga punya misteri tersendiri. Namun, berbanding manusia, sebahagian besar misteri kejadian-kejadian tersebut boleh dirungkai dan difahami dengan ilmu dan kaedah sains tabi’i yang juga rahmat-Nya pada manusia.

Diciptakan manusia penuh dengan keunikan dan itu menyumbang kepada misteri dalam kehidupan. Golongan manusia ini sukar untuk dimengerti kerana diciptakan manusia itu bersama-sama ‘aqal dan hati nurani yang berbeza-beza. Sungguh sukar untuk menilai apa yang difikirnya atau yang dirasainya dengan menggunakan sekadar mata kasar.

Kekadang mata tesilap perhati lalu menghantar makumat yang kurang tepat ke otak. Kekadang kita melihat perbuatan dan karenah manusia lain yang pelbagai lalu mentafsir dengan pengalaman sendiri dan seterusnya terwujudlah persepsi positif mahupun negatif.

Mesej dan ibrah pada entri kali ini yang cuba disampaikan adalah sesungguhnya kita tidak layak untuk menilai seseorang itu hanya melalui mata kasar. Kerana yang tersembunyi terus-terusan menjadi misteri buat kita hamba-Nya yang lemah. Sesungguhnya tiada yang misteri pada Allah Taala yang Maha Mengetahui akan segala-sesuatu. Wallahu’alam.


Mimosa @;--

0 comments: