Monday, December 7, 2009

Secebis Nasihat Buat Si Gadis…

(Imbasan)



Sejurus sampai di perhentian Pudu raya, aku terus berjalan menuju ke surau yang terletak di tingkat 3. Sudah menjadi kebiasaan, sebelum jasad yang letih akibat perjalanan yang memakan masa lebih kurang empat jam pulang ke tempat pengajian di Matrik UIAM, Petaling Jaya, aku akan menunaikan solat jama’ takhir.


Jam di tangan menunjukkan pukul 5:15 petang. Kaki dengan laju melangkah ke surau kerana aku mahu segera sampai di Matrik. Sejurus sampai di pintu surau, kelihatan ramai orang sedang menanti giliran untuk solat. Ada juga yang bergilir-gilir menjaga beg sahabat masing-masing. Aku, seperti baisa memang selalu berkelana seorang diri. Sementara menanti giliran, aku mengambil posisi di sebelah seorang ibu muda.


Ibu muda itu sedang melayani bayinya yang masih merah lagi. Dia seorang yang manis dengan senyuman tidak lekang terukir di bibir. Mataku tidak lepas-lepas memandang bayi itu. Sememangnya aku memang sukakan budak-budak. Aku pernah menjadi baby sitter buat bayi pak utehku. Seronok pengalaman melayan kerenah bayi kerana mereka sangat suci. Gelak tawanya menjadi hiburan dihati. Aku tidak akan pernah jemu menatapnya, sehingga masa banyak dihabiskan bermain dengannya. Tambah-tambah, aku mempunyai lima adik lelaki yang mempunyai keletah yang pelbagai. Dan sekarang seorang anak buah perempuan yang berusia 6 bulan. Seronok sangat. Alhamdulillah.


Berbalik kepada ibu muda dan bayinya itu. Aku memulakan bicara,


Aku: Comel bayi ni. Dah berapa bulan kak?


Dia: (Senyum). Baru 7 hari.


Aku: “Baru 7 hari, dah boleh bawa jalan-jalan di kawasan yang penuh sesak dengan orang ramai ni. Maknanya dia dalam pantang” (bisikku dalam hati). Bayi perempuan ke lelaki? Tanyaku lagi.


Dia: “ Perempuan” jawabnya sepatah.


Aku: Erm, akak tunggu suami ye?


Dia: (Dia memandangku, kemudian tersenyum) “tak lah, dia tak de ayah”.


Aku: (Pelik) Tak de ayah? Maksudnya?


Dia: “ayah dia menghilangkan diri. Tak tahu kat mana. Bayi ini anak luar nikah.” Jelasnya dengan begitu jujur.


Aku: (Terkejut).”Tumpang tanya, umur akak berapa ye?” Soalku untuk memastikan umurnya.


Dia: “17 tahun”, katanya sepatah.


Aku: Oh..kalau macam tu saya lah kakak. Umur saya 19 tahun. Erm, bley tanya lagi?


Dia: Bley, tanyalah.


Aku: Mak ayah awak tahu? (Aku tidak memanggilnya dengan panggilan akak lagi).


Dia: Tak. Saya lari rumah.


Aku: (Terkejut lagi) Lari rumah? Tapi kenapa?


Dia: Saya rasa terkongkong. Saya nak cari duit sendiri. Kawan saya kata kat KL banyak kerja. Saya pun nekad pi KL seorang diri.


(Aku terdiam seketika. Kemudian menyambung kembali perbualan)


Aku: awak asal mana?


Dia: Bekok, Johor.


Aku: Oh, saya tahu tempat tu. Saya pun dari johor gak. Erm, bayi ni lahir kat mana?


Dia: Pusat kebajikan Kristian. Saya tak tahu kemana nak pergi. Mereka menerima saya sehingga bayi ini lahir. Kemudian mereka minta saya beredar selepas beberapa hari melahirkan bayi ini.


(Aku simpati dengan bayi itu kerana dia tidak disambut dengan azan dan iqamat yang kebiasaannya didendangkan oleh si ayah yang menjadi benteng diri apabila ia membesar kelak.)


Aku: Mengapa boleh jadi macam ni? Maksud saya keterlanjuran awak dengan lelaki tak bertanggungjawab tu. Maaf kalau soalan saya mengguris hati awak.


Dia: Tak mengapa.Erm… saya ingat semua orang lelaki baik dalam menghulurkan bantuan. Dia kata dia suka kat saya, dan saya pun cintakan dia sebab dia banyak tolong saya.


(Dia mendiamkan diri buat seketika, dan aku tidak memaksanya untuk meneruskan cerita. Aku faham bebanan di hatinya. Sebagai seorang perempuan, aku berasa sangat simpati dan empati dengan kejadian malang yang menimpanya akibat daripada kelalaiannya sendiri)


Aku: “Awak, hidup ni kena senantiasa berhati-hati. Jangan mudah percaya dengan orang baru buat pertama kali kenal, tambah-tambah dia adalah lelaki. Tapi, nak buat macam mana, nasi dah pun menjadi bubur.” Bicaraku dengan nada kesal.


(Kenyataan itu yang keluar dari mulutku. Aku sangat marah dengan lelaki itu, dan kelalaian ibu muda tersebut. Aku terbayang bagaimana bayi perempuan itu akan menanggung beban yang sangat besar dalam kehidupannya kelak akibat kesalahan kedua ibu bapanya yang menyebabkan dia lahir tanpa ikatan sah.)


Aku: Erm, lepas ni nak ke mana? Ada tempat untuk dituju?


Dia: Tak tahu lagi nak kemana. Surau ni tutup pukul 9 malam. Sudah tentu saya tidak boleh tinggal di sini.


Aku: (Berfikir sejenak) Macam nilah, awak tahu rumah Titian Kasih? Rumah itu menempatkan ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim.


Dia: Tahu. (senyum)


Aku: “Kalau macam tu senanglah hati saya, awak pergi sana ye. Saya tak bley tolong awak banyak. Satu nasihat saya, jaga bayi ini sebaik mungkin. Kasihi dia dengan penuh kasih sayang.”
Kuakhiri perbualan tersebut, kerana ingin menunaikan solat.


Dia : (Mengangguk dan tersenyum mendengar nasihat itu.) Terima kasih kak.


Aku meminta diri untuk segera menunaikan solat yang tertangguh tadi.

Selesai menunaikan solat jamak takhir zuhur ke asar, aku segera melangkah untuk pulang ke Matrik. Lagipun, sudah lewat petang. Aku mahu segera sampai sebelum maghrib menjelma.


Aku bersalaman dengan ibu muda tadi. Dia menghantar pemergianku dengan satu pandangan yang sukar dimengerti. Aku pula rasa sangat sedih untuk meninggalkannya. Di usia yang begitu muda, dia akan menghadapi liku-liku kehidupan yang sangat mencabar sendirian dengan bayi kecilnya itu. Tambah-tambah di kota besar seperti Kuala Lumpur ini. Dari pengamatanku, dia seorang yang sangat lurus dan mudah terpedaya.


“Bagaimana nasib dia dan bayinya kelak?” Pertanyaan ini bermain-main di ruang minda menemani langkahku menuju ke Bas Metro nombor 12. Semoga Allah membuka pintu hidayah kepadanya.

***


Peristiwa itu betul-betul memberi kesan kepadaku. Aku yakin, ramai lagi gadis diluar sana mengalami nasib sama seperti ibu muda itu. Buat para gadis yang kukasihi, anda bertanggungjawab menjaga diri anda sendiri. Jangan mudah percaya dengan kata-kata dan pujuk rayu cinta seorang lelaki yang tidak pasti ketulusannya.


Tidak ada istilah cinta jika dia dengan berani menyentuh diri kita tanpa sebarang ikatan yang sah. Lelaki yang jujur cintanya kepada kita adalah mereka yang tidak akan menyentuh diri kita sehingga lafaz akad disempurnakan. Lelaki yang jujur adalah mereka yang mencintai diri kita tanpa sebarang syarat, mencintai kita demi secebis keredhoan Ilahi. Jagalah mahkota dan maruah diri demi lelaki yang sah di sisi syarak. Peliharalah cinta murnimu itu hanya untuk lelaki bergelar suami. Wassalam.

0 comments: