Monday, January 4, 2010



Di saat bersendirian....


Alhamdulillah, segala puji dan syukur kepada Allah Ta'ala kerana dengan limpah dan rahmat-nya, aku masih lagi bernafas untuk menjalani kehidupan sebagai hamba-Nya.


Selepas beberapa hari keputusan Mahkamah Tinggi diumumkan yang memihak kepada penerbit The Herald, ramai orang Islam membuka mata dan respons.


Namun, ada juga segelintir Muslim yang tidak ambil kisah terhadap isu ini. Aku sangat kasihan kepada mereka. Mereka dengan dunia ciptaan mereka sendiri, tidak memikirkan kemaslahatan Agama Islam dan penganutnya. Sedangkan sebuah hadith pernah menyatakan yang bermaksud, " Seorang Muslim yang tidak ambil berat terhadap urusan saudara Muslimnya yang lain, bukanlah dari kalangan umatku."


Apa yang harus aku lakukan untuk membantu golongan manusia seperti ini? Memberi mereka secebis kesedaran tentang kehidupan sebenar sebagai seorang Muslim, tentang janji kita terhadap Allah di Luh Mahfuz. Aku, seorang diri... sungguh tidak mampu. Aku mengharapkan saudara-saudara seakidahku untuk sama-sama menegakkan syiar Islam yang semakin terhakis dari segenap aspek.


Aku bukanlah orang hebat dalam agama, tapi ia tidak pula bermakna aku tidak boleh menyumbang kepada agamaku sendiri. sebuah hadith pernah menyatakan yang bermaksud, "sampaikanlah walaupun cuma satu ayat." Aku berpegang pada prinsip itu. aku tidak kisah orang menilaiku dari segi penampilan luaranku, yang penting aku menjalankan tugasku sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W.


Untuk sahabat-sahabatku yang merasa rendah diri untuk bergaul dengan mereka yang mempunyai pengetahuan agama yang mendalam, padamkanlah rasa segan dan rendah diri itu. Manfaatkanlah mereka untuk membina dan memperbaiki diri kearah yang lebih baik.


Manakala, buat para sahabat yang alim, bantulah insan-insan yang masih terkapai-kapai mencari sinar hidayah. Pandanglah mereka ini dengan pandangan kasihan dan perasaan ingin membantu mereka. InsyaAllah, kehidupan dan ilmu akan lebih diberkati.


Aku pohon pada-Mu, Ya Rabbul 'Izzati, peliharalah aku, kedua ibubapaku, sahabat handaiku, kaum Muslimin dan Muslimat dari segala fitnah dunia. Tunjukilah kami jalan kebenaran menuju keredhoanMu. Sesungguhnya kami beriman, "Tiada Tuhan selain Allah, dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah." Amin.

0 comments: